AM

BANJIR LUMPUR DI ALOR GAJAH: BENGKEL KERETA ANTARA PREMIS TERJEJAS TERUK

12/08/2024 06:40 PM

ALOR GAJAH, 12 Ogos (Bernama) -- Pemilik bengkel membaiki kereta, Mohd Hasim Yusof mengalami kerugian besar selepas lebih lima kereta milik pelanggannya yang diletakkan di bengkel di hadapan rumah rosak ditenggelami banjir dalam kejadian di Kampung Sungai Jernih, Lubok China di sini semalam.

Mohd Hasim, 59, berkata rumah yang didiami bersama isteri, Dayang Mimi Awang Nuwie, 57, lebih 15 tahun lepas turut, dinaiki air hingga paras dada yang berserta lumpur dan selut menyebabkan hampir semua peralatan elektrik, perabot dan kelengkapan rumah lain rosak.

“Banjir yang melanda pada kira-kira 10.30 pagi semalam merupakan yang paling teruk sejak saya duduk di sini…sebelum ini pernah juga berlaku rumah dinaiki air tetapi setakat paras buku lali.

"Semalam hujan sangat lebat dan lama menyebabkan air masuk dengan pantas menyebabkan kami tidak sempat menyelamatkan barangan rumah," katanya ketika ditemui pemberita di rumahnya di sini hari ini.

Bapa kepada enam anak berusia lingkungan antara 20-an hingga 30-an itu, berkata setakat tengah hari tadi kerja-kerja pembersihan rumah belum dapat dilaksanakan sepenuhnya kerana ia melibatkan kawasan yang besar serta kerosakan yang banyak.

Sementara itu, Dayang Mimi berkata motor mesin jahit yang digunakan untuk perniagaan jahitannya dikhuatiri rosak akibat ditenggelami air menyebabkan tempahan pakaian pelanggan terjejas.

"Alhamdulillah, baju pelanggan yang telah siap sempat diselamatkan ke tempat lebih tinggi tetapi saya tidak tahu keadaan mesin jahit kerana belum dihidupkan lagi," katanya yang telah mengusahakan perniagaan itu sejak 15 tahun lepas.

Dayang Mimi berkata dia dan suami serta anak bongsunya terpaksa berpindah ke pusat pemindahan sementara (PPS) di Sekolah Rendah Sungai Jernih kira-kira 10 malam tadi.

Seorang lagi penduduk, Ahmad Said, 69, berkata bencana itu bukan sahaja menyebabkan rumah dipenuhi lumpur, malah air setinggi paras lutut turut membawa kayu dan ranting pokok dalam kejadian hujan lebat bermula 8.30 pagi semalam.  

Bapa kepada tiga anak berusia 26 hingga 36 tahun itu berkata kejadian berlaku terlalu pantas menyebabkan dia tidak sempat menyelamatkan dokumen penting serta peralatan dan perabot rumah.

"Saya dan keluarga hanya sempat menyelamatkan diri kerana tidak menyangka akan berlaku banjir seteruk ini," katanya.

Media melaporkan, jumlah mangsa banjir di Alor Gajah meningkat kepada 419 orang daripada 123 keluarga pada 12 tengah hari ini berbanding 360 orang daripada 109 keluarga pada 8 pagi tadi dan ditempatkan di tujuh PPS.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan