AM

MANGSA BANJIR DI ALOR GAJAH MENINGKAT KEPADA 419 ORANG SETAKAT 12 TENGAH HARI

12/08/2024 02:48 PM

MELAKA, 12 Ogos (Bernama) -- Jumlah mangsa banjir di Alor Gajah meningkat kepada 419 orang daripada 123 keluarga pada 12 tengah hari ini berbanding 360 orang daripada 109 keluarga, pada 8 pagi tadi.

Sekretariat Jawatankuasa Pengurusan Bencana Negeri (JPBN) Melaka Lt Kol (PA) Kamarulsyah Muslim berkata sebuah pusat pemindahan sementara di Pejabat Jawatankuasa Pembangunan dan Penyelarasan Dewan Undangan Negeri (Japerun) Ayer Limau turut dibuka pada 11 pagi tadi, menjadikan keseluruhan tujuh PPS beroperasi di daerah itu.

"PPS Balai Raya Paya Lebar menempatkan 61 mangsa daripada 13 keluarga, PPS Pertubuhan Kebajikan Islam Malaysia (Perkim) Masjid Tanah (dua mangsa daripada satu keluarga), PPS Balai Raya Ayer Paabas (13 mangsa daripada lapan keluarga).

"Selain itu, PPS Sekolah Kebangsaan (SK) Sungai Jernih (15 mangsa daripada tiga keluarga), PPS Dewan Masjid Ar-Rasyidin Seri Bayu 2 (163 mangsa daripada 59 keluarga), PPS Japerun Kuala Linggi (128 mangsa daripada 30 keluarga) dan PPS Japerun Ayer Limau (37 mangsa daripada sembilan keluarga)," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Katanya 21 kawasan di daerah itu terjejas akibat bencana termasuk di Kampung Paya Lebar, Kampung Ramuan China Besar, Kampung Bukit Apit, Kampung, Ayer Limau, Kampung Sungai Jernih, Kampung Lekok, Kampung Paya Rumput, Kampung Lubok China, ⁠Taman Masjid Tanah Ria, Taman Bandar Baru Masjid Tanah,  Kampung Rantau Panjang dan Kampung Brisu.

Selain itu, Taman Awan Biru, Taman Seri Bayu 2 dan 3, Taman Seri Aman,  Kampung Belimbing Dalam, Kampung Solok Ayer Limau, Kampung Seri Jeram, Kampung Ladang, Kampung Keramat Lebai dan Panchor.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan