AM

EAIC TERIMA MEMORANDUM ISU ANCAM ALAM SEKITAR, KEHIDUPAN NELAYAN PANTAI NEGARA

12/08/2024 06:02 PM

PUTRAJAYA, 12 Ogos (Bernama) -- Suruhanjaya Integriti Agensi Penguatkuasaan (EAIC) menerima memorandum daripada Persatuan Pendidikan dan Kebajikan Jaringan Nelayan Pantai Malaysia (JARING) berhubung isu yang mengancam alam sekitar dan kehidupan nelayan pantai negara.

Pengerusi EAIC Tan Sri Dr Ismail Bakar berkata memorandum tersebut menuntut tindakan segera menghentikan penggunaan pukat tunda yang mengakibatkan kekurangan sumber perikanan dan menimbulkan konflik dengan nelayan pantai. 

Beliau berkata JARING juga menggesa agar isu pengurusan dan penguatkuasaan oleh jabatan serta agensi yang mengawal selia perairan dan perikanan negara dipertingkatkan.

"EAIC menyedari kepentingan isu yang dibangkitkan oleh JARING dan akan meneliti setiap cadangan yang telah dikemukakan bagi mencari penyelesaian menyeluruh," katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Ismail berkata suruhanjaya itu akan bekerjasama dengan agensi penguatkuasaan yang berkaitan khususnya Jabatan Perikanan dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM) dalam menangani isu perikanan dan perairan negara bagi memastikan langkah yang diambil selaras dengan perundangan.

Beliau berkata langkah itu penting untuk memastikan keselamatan, keadilan, dan ketelusan dalam operasi di lapangan serta memelihara integriti negara.

Beliau berkata EAIC akan terus memainkan peranan aktif dalam memastikan integriti dan keberkesanan penguatkuasaan undang-undang, terutama berhubung isu yang melibatkan kelestarian alam sekitar dan kesejahteraan komuniti nelayan pantai di Malaysia.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan