EKONOMI

GEELY SELESAI BENTANG PELAN INDUK PELABURAN PEMBANGUNAN AHTV - SAARANI

12/08/2024 09:45 PM

KUALA KANGSAR, 12 Ogos (Bernama) -- Zhejiang Geely Holding Group Co Ltd (Geely) yang bercadang melabur bagi membangunkan Projek Lembah Teknologi Tinggi Automotif (AHTV) di Tanjung Malim telah membentangkan pelan induk pelaburan mereka kepada kerajaan negeri Perak. 

Menteri Besar Datuk Seri Saarani Mohamad berkata satu mesyuarat akan diadakan pada September ini untuk kerajaan negeri meluluskan pelan induk tersebut. 

Beliau berkata Geely merupakan antara syarikat yang kekal komited dengan perancangan pelaburan mereka di Perak termasuk beberapa pelabur asing lain. 

"Untuk Bandar Perindustrian Maritim Lumut (LUMIC) kita menerima RM9.5 juta peruntukan geran daripada Kesatuan Eropah (EU) dan RM72 bilion untuk pelaburan membangunkan LUMIC,” katanya pada sidang media selepas Program Mesra Hari Bertemu Pelanggan Siri Ke-6, di sini, hari ini

Begitu juga pelabur dari China seperti Jinjing Silicon Technology Sdn Bhd, syarikat usaha sama Jinjing Group Ltd dengan Winro Sdn. Bhd yang komited melabur sebanyak RM100 juta di Silver Valley Technology Park (SVTP) dan Zhejiang Sinopont Technology Co. Ltd (Sinopont) di Taman Perindustrian Tasek, kata Saarani.

Beliau berkata demikian ketika ditanya mengenai status komitmen pelaburan asing di negeri tersebut sambil menambah setakat ini tiada isu mana-mana pelabur yang mahu menarik diri daripada melabur di Perak. 

Sebelum ini Geely dilaporkan menyatakan komitmennya untuk melabur sebanyak RM30 bilion untuk terus membangunkan Tanjung Malim sebagai hab automobil terbesar di rantau ini.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan