AM

PM DIJANGKA BUAT PENGUMUMAN PENTING BERKAITAN SSPA PADA MAPPA KE-19, JUMAAT INI

13/08/2024 02:31 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Perdana Menteri Datuk Anwar Ibrahim dijangka membuat pengumuman penting mengenai Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19, yang akan diadakan Jumaat ini di Pusat Konvensyen Antarabangsa Putrajaya (PICC).

Timbalan Pengarah Kanan (Pembangunan Kompetensi) Institut Tadbiran Awam Negara (INTAN) Datuk Dr Haniff Zainal Abidin berkata pengumuman tersebut dijangka menarik perhatian ramai, terutama para penjawat awam.

“Kali ini, ramai yang pasti ternanti-nanti tentang polisi atau dasar kerajaan MADANI yang akan dibentangkan di MAPPA. Kali ini agak menarik kerana terdapat kemungkinan besar pengumuman penting berkaitan SSPA dan prinsip-prinsip yang perlu dilaksanakan oleh penjawat awam,” katanya dalam program Apa Khabar Malaysia terbitan Bernama TV hari ini.

Haniff menjelaskan bahawa MAPPA ke-19 merupakan platform bagi Perdana Menteri untuk berkongsi amanat atau dasar kerajaan, dan ini merupakan penganjuran semula selepas kali terakhir diadakan pada tahun 2022.

“Kita menjangkakan sekitar 7,000 penjawat awam akan hadir untuk mendengar sendiri apa yang ingin disampaikan oleh Perdana Menteri. Bagi mereka yang tidak dapat hadir, mereka boleh mengikuti siaran langsung melalui pelbagai platform termasuk media sosial,” katanya.

Mengulas mengenai keunikan penganjuran MAPPA kali ini yang bertemakan Perkhidmatan Awam MADANI, Haniff berkata sebanyak 32 reruai agensi dan kementerian akan dibuka untuk memberikan perkhidmatan kepada penjawat awam dan orang ramai.

“Reruai terbesar yang akan dibuka ialah reruai Jabatan Perkhidmatan Awam dan INTAN. Selain itu, kami juga menyediakan reruai Polis Diraja Malaysia dan Jabatan Pengangkutan Jalan untuk membolehkan orang ramai membayar saman dengan harga diskaun,” kata beliau.

Haniff turut memaklumkan bahawa kawasan parkir di sekitar PICC akan dibuka dan perkhidmatan shuttle turut disediakan untuk memudahkan pergerakan mereka yang hadir.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan