DUNIA

BURSA MALAYSIA DITUTUP TINGGI SEDIKIT SEIRING PENINGKATAN PASARAN SERANTAU

13/08/2024 07:00 PM

Oleh Rosemarie Khoo

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia kekal rendah hampir sepanjang hari dagangan tetapi berjaya naik sedikit semasa sesi penutup sejajar dengan aliran meningkat di pasaran serantau, kata seorang penganalisis. 

Pada 5 petang, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) meningkat sebanyak 0.17 peratus atau 2.86 mata kepada 1,609.52 daripada paras penutup 1,606.66 pada Isnin.

Indeks petunjuk pasaran dibuka rendah turun 0.82 mata kepada 1,605.84 dan susut ke paras terendah 1,598.30 pada sesi dagangan pagi.

Di keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 705 berbanding 334, dengan 460 kaunter tidak berubah, 947 tidak diniagakan dan sembilan yang lain digantung. 

Jumlah dagangan turun kepada 3.41 bilion unit bernilai RM2.49 bilion daripada 4.01 bilion unit bernilai RM2.93 bilion pada Isnin.

Ketua penyelidikan pelaburan UOB Kay Hian Wealth Advisors Mohd Sedek Jantan berkata aktiviti pasaran kebanyakannya dipengaruhi oleh sentimen didorong data dengan para pelabur mengambil pendekatan berhati-hati. 

“Aktiviti pengambilan untung muncul apabila para pelabur menyimpan keuntungan di tengah-tengah kebimbangan terhadap kemungkinan peningkatan Indeks Harga Pengeluar (IHPP) Amerika Syarikat (AS) yang dijadual diumumkan lewat hari ini. Petunjuk ekonomi ini boleh mencetuskan kemeruapan pasaran,” katanya kepada Bernama. 

Sementara itu, beliau berkata walaupun sektor pembinaan mencatatkan pertumbuhan kukuh melebihi 20 peratus pada suku kedua 2024, seperti yang dicerminkan menerusi projek bernilai RM38.9 bilion, dan statusnya sebagai penerima pelaburan pusat data di Malaysia, Indeks Pembinaan Bursa Malaysia mencatatkan penurunan lebih 1.78 peratus.

Ini, katanya, menunjukkan keutamaan pelabur untuk menyimpan keuntungan serta peralihan kepada strategi pelaburan defensif.

Mohd Sedek juga berkata ketika pelabur menunggu pengumuman data inflasi AS dan laporan pekerjaan bulanan, dagangan kemungkinan akan kekal lemah.

“Walaupun turun naik dagangan berkurangan berbanding minggu sebelumnya, suasana pasaran yang berhati-hati menghalang peningkatan harga yang lebih tinggi.

“Ini diperlihatkan menerusi jumlah dagangan hari ini yang lebih rendah sebanyak 3.41 bilion saham daripada 4.01 bilion saham pada Isnin, berbanding purata volum harian 4.28 bilion saham,” katanya.

Dalam kalangan saham wajaran tinggi, Maybank dan Public Bank tidak berubah masing-masing pada RM10.20 dan RM4.26, Tenaga turun 4.0 sen kepada RM13.90, CIMB naik 6.0 sen kepada RM7.42, IHH Healthcare meningkat 3.0 sen kepada RM6.28 dan CelcomDigi menokok 4.0 sen kepada RM3.81.

Sementara itu, dalam kalangan kaunter cergas, Cape EMS susut 5.0 sen kepada 45.5 sen, Sik Cheong naik 9.0 sen kepada 36 sen, Top Glove turun 3.0 sen kepada 90.5 sen, Velesto turun setengah sen kepada 20.5 sen dan MYEG berkurangan 1.0 sen kepada 90.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas turun 10.47 mata kepada 12,244.74, Indeks FBMT 100 susut 0.66 mata kepada 11,884.10, Indeks FBM 70 jatuh 81.15 mata kepada17,758.59, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 29.29 mata kepada 12,373.06 dan Indeks FBM ACE susut 58.55 mata kepada 5,388.73.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan meningkat 41.14 mata kepada18,212.63, manakala Indeks Tenaga susut 2.53 mata kepada 923.88.

Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian tidak berubah pada 181.52, Indeks Teknologi turun 0.52 mata kepada 71.19 dan Indeks Perladangan naik 12.33 mata kepada 7,125.88.

Jumlah dagangan Pasaran Utama menyusut kepada 1.77 bilion unit bernilai RM2.14 bilion daripada 2.50 bilion unit bernilai RM2.58 bilion pada Isnin.

Jumlah dagangan waran menambah kepada 1.06 bilion unit bernilai RM146.26 juta daripada 924.40 juta unit bernilai RM123.04 juta sebelumnya.

Jumlah dagangan Pasaran Ace berkurangan kepada 570.90 juta saham bernilai RM208.29 juta daripada 580.17 juta saham bernilai RM208.50 juta.

Kaunter produk dan perkhidmatan pengguna menyumbang 239.87 juta saham yang diniagakan di Pasaran Utama, produk dan perkhidmatan perindustrian (510.90 juta), pembinaan (133.81 juta), teknologi (165.99 juta), SPAC (sifar), perkhidmatan kewangan (64.20 juta), hartanah (204.59 juta), perladangan (22.29 juta), REITs (9.10 juta), dana tertutup (70,600), tenaga (157.60 juta), penjagaan kesihatan (94.63 juta), telekomunikasi dan media (35.69 juta), pengangkutan dan logistik (72.02 juta), utiliti (66.46 juta) dan amanah perniagaan (228,400).

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan