AM

LEBIH RM4.5 JUTA KUTIPAN WAKAF DITERIMA PPZ-MAIWP, MENINGKAT 12 PERATUS - MOHD NA’IM

13/08/2024 02:36 PM

KUALA LUMPUR, 13 Ogos (Bernama) -- Pusat Pungutan Zakat Majlis Agama Islam Wilayah Persekutuan (PPZ-MAIWP) menerima sebanyak RM4,571,818.53 dana wakaf bagi tempoh Januari hingga Julai lepas, kata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Mohd Na’im Mokhtar.

Beliau berkata jumlah hasil kutipan itu ialah menerusi 14,376 pewakaf dan kutipan berkenaan menyaksikan peningkatan sebanyak 12 peratus berbanding tempoh yang sama pada tahun lepas iaitu RM4,069,320.83.

Mohd Na’im berkata meskipun berlaku peningkatan dalam dana wakaf, beliau menggesa rakyat terutamanya penduduk di Wilayah Persekutuan untuk memberi sumbangan wakaf memandangkan jumlah kutipan wakaf itu dilihat masih kecil.

“Perdana Menteri (Datuk Seri Anwar Ibrahim) pernah sebut bahawa wakaf merupakan instrumen penting dalam pembangunan ekonomi, maka saya mengajak para penyumbang wakaf yang ingin dapatkan pahala berterusan supaya memberikan sumbangan wakaf menerusi PPZ-MAIWP,” katanya.

Mohd Na’im berkata demikian kepada media selepas merasmikan pembukaan Surau Al-Marjan di Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Batu Muda di sini hari ini.

Beliau berkata surau berkenaan telah selesai dibina pada Disember 2023 melalui hasil kutipan wakaf tunai khas yang memberi manfaat kepada 1,446 pelajar dan guru di sekolah berkenaan untuk beribadah dan menjalankan aktiviti kerohanian.

“Alhamdulillah, kutipan wakaf tunai dilaksanakan bermula 1 Mac 2022 hingga 28 Feb 2023 telah berjaya mengumpulkan sebanyak RM623,807.90 dengan kerjasama dan sumbangan daripada pelbagai pihak antaranya MAIWP, PPZ-MAIWP, pewakaf serta guru-guru dan kakitangan serta pihak Persatuan Ibu Bapa dan Guru SMK Batu Muda,” katanya.

— BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan