AM

KMJG SANTUNI PENDUDUK PANGI, KAWASAN PEDALAMAN SABAH

13/08/2024 04:22 PM

TENOM, 13 Ogos (Bernama) -- Kembara Merdeka Jalur Gemilang (KMJG) 2024 Negeri Sabah yang memasuki hari keenam menjelajah ke kawasan Pangi dekat sini bagi menyemarakkan sambutan Hari Kebangsaan, Hari Sabah dan Hari Malaysia dalam kalangan penduduk di kawasan pedalaman itu.

Setelah menempuh perjalanan sejauh kira-kira 130 kilometer (km) sekitar tiga jam dari Kota Kinabalu untuk ke Tenom, peserta konvoi terpaksa pula menaiki kereta api selama 30 minit untuk akhirnya menjejakkan kaki di Pangi.

Dihuni kira-kira 300 penduduk dengan majoritinya etnik Murut, Pangi hanya dihubungkan dengan bandar  melalui landasan kereta api memandangkan ketiadaan akses jalan raya.

Ahli Parlimen Tenom Riduan Rubin yang turut menyertai konvoi, memulakan perjalanan di Stesen Keretapi Tenom bersama 60 peserta konvoi yang lain, sebelum ketibaan mereka di Stesen Pangi disambut mesra penduduk sekitar.

Mereka kemudiannya menyantuni penduduk setempat bagi menyampaikan mesej cintakan negara, selain mengedarkan Jalur Gemilang dan bendera Sabah kepada penduduk.

"Program kita hari ini, kita mahu santuni masyarakat kampung selain adakan aktiviti kemasyarakatan. Kita juga mahu sampaikan mesej kerajaan yang mahu semangat cintakan negara sentiasa ada dalam diri mereka.

“Penting bagi kita tekankan kepada generasi muda supaya menghayati nilai kemerdekaan walau di mana mereka berada," katanya kepada pemberita selepas menyertai KMJG, di sini hari ini.

Pada program itu, pelbagai aktiviti kemasyarakatan diadakan di Sekolah Kebangsaan (SK) Pangi seperti mengecat bangunan sekolah selain penyerahan sumbangan kepada para murid.

Sementara itu, Pengarah Jabatan Penerangan Negeri Sabah Jainisah Mohd Noor menyifatkan Pangi yang merupakan hentian ke-18, sebagai destinasi istimewa untuk KMJG tahun ini, iaitu satu-satunya perjalanan menggunakan kereta api.

"Kita juga datang bersama membawa perkhidmatan kepada penduduk antaranya pendaftaran e-Kasih, pemeriksaan kesihatan, derma darah dan juga perkhidmatan menggunting rambut secara percuma kepada murid sekolah dan juga penduduk," katanya.

KMJG 2024 Negeri Sabah mengembara di 25 daerah di negeri itu dengan jarak perjalanan sejauh 2,400 km melibatkan 14 agensi Persekutuan dan negeri.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan