JENAYAH & MAHKAMAH

POLIS TUNGGU KEPUTUSAN UJIAN DNA KEPALA, JARI CIKGU ISTIQOMAH

13/08/2024 08:20 PM

MELAKA, 13 Ogos (Bernama) -- Polis sedang menunggu keputusan ujian DNA kepala serta jari Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dibunuh kejam dengan cara dikerat anggota badannya.

Ketua Polis Daerah Alor Gajah Supt Ashari Abu Samah berkata keputusan ujian berkenaan dijangka diketahui selewat-lewatnya minggu depan sebelum jenazah dibenarkan untuk dituntut oleh ahli keluarga mangsa.

Beliau berkata tindakan itu diambil memandangkan dua bahagian tersebut antara anggota tubuh yang baharu ditemukan selepas penahanan suspek utama kes berkenaan.

"Buat masa ini tunggu keputusan DNA jari dan kepala serta arahan daripada Pengarah Pendakwaan Negeri (PPN) sebelum jenazah dibawa dikeluar dan dituntut daripada hospital.

"Kita (jangka) minggu hadapan dan kalau dapat dilakukan lebih awal saya akan maklumkan kemudian," katanya menerusi aplikasi WhatsApp kepada pemberita di sini hari ini.

Ashari berkata polis juga sedang mengesan beberapa bahagian anggota badan mangsa yang dipercayai dibuang di kawasan berbeza oleh suspek.

Beliau berkata siasatan masih belum lengkap sepenuhnya ketika ini dan masih banyak tindakan perlu diambil bagi memastikan siasatan kes itu dapat disiapkan.

"Insya-Allah jika semuanya sudah selesai satu siaran media akan dibuat sendiri oleh Ketua Polis Melaka, Datuk Zainol Samah dan saya harap rakan media dapat bersabar," katanya.

Pada 6 Jan lepas, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki, dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang kira-kira 2 petang.

Siasatan awal mendapati mangsa dipercayai dibunuh dengan anggota badan iaitu kepala, tangan dan kaki dipotong dan disumbat ke dalam tong sampah sebelum dibuang ke dalam longkang.

Bagaimanapun, identiti mangsa gagal dikenal pasti dan pihak patologi hanya mengesahkan mayat dianggarkan berumur antara 20 hingga 30-an dan merupakan seorang wanita.

Berikutan penemuan mayat tanpa kepala itu, polis turut menjalankan ujian DNA ke atas dua kes orang hilang dalam tempoh sebulan sebelum itu namun negatif.

Selepas lapan bulan, Ashari semalam mengesahkan mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Istiqomah Ahmad Rozi, 33, yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023.

Susulan itu Bahagian Siasatan Khas (D9) Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah (IPD) Alor Gajah, menahan sepasang suami isteri berusia 37 dan 36 tahun di Chemor, Perak pada 6 Ogos.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan