AM

LEBIH 200 KG GULA PASIR DIJUAL MELEBIHI HARGA DITETAPKAN DISITA

14/08/2024 01:08 PM

IPOH, 14 Ogos (Bernama) -- Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Kos Sara Hidup (KPDN) Perak menyita 213 kilogram (kg) gula pasir bertapis kasar dan halus dianggarkan bernilai RM607.05 di sebuah premis perniagaan di Jalan Laksamana, Seberang Perak di Kampung Gajah semalam.

Pengarahnya Datuk Kamalludin Ismail berkata ia hasil Ops Samar oleh penguat kuasa KPDN berdasarkan aduan orang awam yang mengadu pasar raya berkenaan menjual gula pasir putih bertapis kasar peket 1kg dengan harga RM3 melebihi harga ditetapkan kerajaan iaitu RM2.85.

Beliau berkata sepasukan anggota penguat kuasa beruniform melakukan pemeriksaan menyeluruh terhadap premis itu dan menemukan sebanyak 213 kg gula kasar berada di dalam premis berkenaan. 

"Tindakan telah diambil di bawah Seksyen 11 Akta Kawalan Harga dan Anti Pencatutan 2011 kerana menjual barang kawalan gula pasir putih bertapis kasar melebihi harga maksimum ditetapkan kerajaan," katanya dalam kenyataan hari ini.

Kamalludin mengingatkan semua peniaga supaya lebih beretika dalam menjalankan perniagaan dan tindakan tegas akan diambil sekiranya gagal mematuhi semua peraturan ditetapkan di bawah akta yang dikuatkuasakan oleh KPDN.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan