DUNIA

MESYUARAT PEGAWAI KANAN MEKANISME “2+2” CHINA-INDONESIA DIADAKAN

14/08/2024 04:34 PM

JAKARTA, 14 Ogos (Bernama-CMG) -- Mesyuarat Pegawai Kanan di bawah Mekanisme Dialog “2+2” (Menteri Luar + Menteri Pertahanan) China-Indonesia diadakan buat julung kali di sini pada Selasa.

Forum itu dipengerusikan bersama oleh Naib Menteri Luar China Sun Weidong, Naib Pengarah Pejabat Kerjasama Antarabangsa Jawatankuasa Ketenteraan Pusat China Zhang Baoqun dan Ketua Pengarah Jabatan Asia Pasifik dan Afrika Kementerian Luar Indonesia Abdul Kadir Jailani serta Ketua Setiausaha Jabatan Strategi Kementerian Pertahanan Indonesia, Brigadier Jeneral TNI Oktheroe Ramsi.

Mereka berpendapat, mesyuarat pegawai kanan itu menandakan bermulanya mekanisme "2+2” antara kedua-dua negara secara rasmi, dan juga dilihat sebagai satu lonjakan baharu dalam memupuk rasa saling percaya dalam bidang strategi. Hubungan China-Indonesia yang sudah berada di tahap terbaik akan terus berkembang ke arah lebih strategik.

Dalam mesyuarat itu, pihak China memilih untuk menghuraikan pendirian mengenai pelbagai kepentingan utama milik sendiri dan isu-isu teras seperti yang melibatkan Taiwan dan Laut China Selatan (LCS).

Sementara itu, Indonesia menyatakan negara berkenaan konsisten dalam mengamalkan prinsip Satu China, dan bersedia menangani perselisihan melalui rundingan damai demi kedamaian dan kestabilan di LCS.

Kedua-dua pihak juga menegaskan untuk menjunjung Lima Prinsip Hidup Bersama, menyemarakkan Semangat Bandung, bersama mengambil tindakan yang tulen dalam mempertahankan amalan multilateralisme, memelihara struktur serantau yang terbuka dan inklusif.

China dan Indonesia juga akan menerajui pembaharuan dan pembinaan tabir urus global supaya dapat menyumbang kepada kedamaian, kestabilan, kerjasama serta pembangunan serantau dan dunia.

Isu-isu serantau dan antarabangsa yang menjadi keprihatinan bersama termasuk isu Palestin juga menjadi antara topik perbincangan.

Menurut wakil China, negara itu memegang kepada konsep keselamatan yang menekankan "bersama, komprehensif, kerjasama dan berterusan" serta bersedia bersama Indonesia meningkatkan komunikasi dan penyelarasan selain menambah dialog dan kerjasama untuk memelihara keadilan antarabangsa, berdasarkan pelaksanaan tiga Inisiatif Global, iaitu Inisiatif Pembangunan Global (GDI), Inisiatif Keselamatan Global (GSI) dan Inisiatif Peradaban Global (GCI).

-- BERNAMA-CMG 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan