SUKAN

SUKMA 2024: 12 PINGAT EMAS JADI REBUTAN ESOK

14/08/2024 07:05 PM

KUCHING, 14 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 12 pingat emas menjadi rebutan pada Sukan Malaysia (SUKMA) Sarawak 2024 menerusi tiga acara melibatkan berbasikal lebuh raya, tenpin boling dan wushu, esok.

Tenpin boling yang dijadual membuka tirai di Megalanes Emart, Batu Kawa di sini menawarkan dua pingat emas masing-masing dalam acara individu wanita dan lelaki.

Secara keseluruhan, sebanyak 11 pingat emas dipertandingkan untuk acara tenpin boling yang berlangsung selama enam hari pada edisi kali ini. 

Sementara itu, Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem di sini, terus menjadi tumpuan buat hari kedua acara berbasikal lebuh raya melibatkan acara lepas beramai-ramai individu lelaki dan berpasukan lelaki yang menawarkan dua pingat emas.

Semua peserta yang akan mengharungi kayuhan sejauh 144 kilometer dijangka dilepaskan pada jam 9 pagi.

Turut menjadi tumpuan pastinya gelanggang wushu di Dewan Wushu SSC, Petra Jaya di sini, yang menawarkan lapan pingat emas menerusi disiplin taolu, selepas enam pingat emas dipertandingkan hari ini.

Selain itu, acara bola keranjang 5x5 akan membuka gelanggang di Stadium Majlis Bandaraya Kuching Selatan (MBKS) Pending, di sini yang dijadual bermula pada jam 9.30 pagi.

Arena Lawn Bowls Sarawak di sini yang membuka tirai sejak dua hari lepas pula akan menyaksikan penentuan ke separuh akhir boling padang bagi wanita singles, berpasukan fours wanita, berpasukan pairs lelaki dan berpasukan triples lelaki.

Masih meneruskan aksi pusingan awal esok adalah acara kriket lelaki T20 di Padang Kriket & Rabgi Petra Jaya di sini.

Kriket menawarkan dua pingat emas masing-masing dalam kategori lelaki dan wanita yang akan membuka tirai, Ahad ini.

Turut membuka gelanggang esok adalah acara Muay Thai di Paragon Mall, Bintulu yang akan berlangsung sehingga 20 Ogos dengan menawarkan keseluruhan 18 pingat emas.

Di Miri, sofbol akan bermula secara rasmi di padang bola sepak Institut Kemahiran Belia Negara (IKNB) untuk kategori lelaki dan di Sekolah Menengah Kebangsaan Merbau bagi wanita. 

SUKMA 2024 menawarkan 488 pingat emas dalam 37 jenis sukan dengan kesemua acara berlangsung di 50 venue pertandingan di sembilan bahagian seluruh Sarawak iaitu Kuching, Samarahan, Serian, Sri Aman, Betong, Sibu, Mukah, Bintulu, dan Miri.

Seramai 9,927 atlet dari seluruh negara mengesahkan penyertaan pada temasya dwitahunan itu selain Brunei sebagai kontinjen jemputan.

Sarawak menganjurkan SUKMA buat kali ketiga selepas 1990 dan 2016.

Ikuti liputan komprehensif menerusi laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan dwitahunan itu.

Laman web dwibahasa itu juga akan memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA yang memasuki edisi ke-21.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan