AM

TEMA MALAYSIA MADANI: JIWA MERDEKA KOMITMEN PERTAHAN NILAI, PULIHARA KEMERDEKAAN - HAJIJI

14/08/2024 06:36 PM

KOTA KINABALU, 14 Ogos (Bernama) -- Rakyat Malaysia perlu berjiwa besar dan bukan sekadar meraikan sambutan Hari Kebangsaan pada setiap 31 Ogos sebaliknya menyematkan semangat kebersamaan serta komitmen untuk memulihara kemerdekaan yang dikecapi sejak 67 tahun lepas.

Ketua Menteri Datuk Seri Hajiji Noor berkata tema 'Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka' yang dipilih untuk sambutan tahun ini perlu dijiwai oleh segenap lapisan masyarakat sebagai komitmen penting bagi mempertahan nilai kemerdekaan kerana usaha mencapainya tidak diperoleh dengan mudah melainkan melalui pengorbanan para pejuang terdahulu.

“Kemerdekaan ini cukup istimewa kerana apabila merdeka, kita bebas dan boleh menentukan hala tuju pemerintahan kita, begitu juga masa depan negeri serta negara kita. Dengan kemerdekaan, kita boleh tentukan pemerintahan sendiri, tadbir sendiri, majukan negeri dan negara kita sendiri.

“Seterusnya, ini membolehkan kita sebagai kerajaan yang memerintah memberikan perkhidmatan kepada rakyat dengan sebaik mungkin,” katanya dalam temu bual khas bersama Pertubuhan Berita Nasional Malaysia (Bernama), Radio Televisyen Malaysia (RTM) dan Jabatan Penerangan di pejabat beliau di Menara Kinabalu di sini hari ini.

Beliau berkata dalam usaha mempertahan kemerdekaan yang dikecapi, rakyat tidak boleh ‘terbuai’ dengan adu domba dan anasir yang cuba mengancam keselamatan serta keharmonian di negara ini.

“Apa sahaja kita mahu buat, negara dan negeri kita mesti diutamakan. Jangan buat sesuatu yang boleh sebabkan huru-hara keadaan dan pecah belah perpaduan. Kita boleh berlainan pendapat tetapi kepentingan negara itu penting.

“Jangan kita fikirkan sesuatu yang boleh memudaratkan kemerdekaan ini, kita jaga sama-sama untuk kita serta generasi akan datang,” katanya.

Hajiji berkata Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka turut membawa pengertian penting dalam keadilan menyantuni semua rakyat tanpa membezakan latar belakang, kaum atau kepercayaan politik.

“Kerajaan MADANI ketika ini memastikan semua rakyat disantuni secara adil dan saksama dengan pembelaan dilakukan kepada mereka yang memerlukan agar golongan ini dapat hidup dengan lebih baik.

“Tema ini sesuai kerana Kerajaan MADANI kita ini adil kepada semua, jangan kita fikir kaum kita sahaja. Kita tidak boleh hidup aman jika fikirkan kaum kita sahaja. Semua kaum perlukan pembelaan jadi tema ini cukup baik dalam menyatakan komitmen kerajaan untuk bangunkan dan satu padukan rakyat pelbagai kaum,” katanya.

-- BERNAMA


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan