JENAYAH & MAHKAMAH

KES PUKUL OKU: TINDAKAN TATATERTIB TELAH DIAMBIL KE ATAS ANGGOTA PENGIRING - KPN

14/08/2024 11:20 PM

KUALA LUMPUR, 14 Ogos (Bernama) -- Polis Diraja Malaysia (PDRM) telah mengambil tindakan tatatertib terhadap anggota pengiring yang didakwa memukul seorang pemandu e-panggilan orang kurang upaya (OKU) di lobi sebuah hotel di ibu negara pada 28 Mei lepas.

Ketua Polis Negara Tan Sri Razarudin Husain berkata tindakan dalaman ke atas anggota terbabit diambil oleh Jabatan Integriti dan Pematuhan Standard (JIPS) Bukit Aman.

Beliau juga berkata kertas siasatan kes itu telah dihantar semula ke Jabatan Peguam Negara (AGC) selepas mendapat arahan siasatan lanjut pada 22 Julai lepas.

“Siasatan telah dibuat pada Julai lepas dan tindakan tatatertib telah dikenakan,” katanya ketika dihubungi Bernama malam ini.

Hari ini, media melaporkan pemandu e-panggilan OKU, Ong Ing Keong yang mendakwa diserang anggota pengiring orang kenamaan, mendedahkan video ketika kejadian tersebut yang dirakam kamera papan pemuka kereta miliknya.

Peguamnya, N. Surendran dilaporkan berkata tiada sebarang tindakan lanjut dambil walaupun kertas siasatan tersebut didakwa telah diserahkan kepada AGC dan turut mendakwa telah menulis surat sebanyak dua kali kepada AGC. 

Dalam rakaman video berdurasi satu minit 30 saat itu, Ong dilihat berada di dalam kereta sepanjang kejadian sambil menunggu pelanggannya meletakkan beg di but keretanya.

Bagaimanapun, secara tiba-tiba muncul seorang lelaki berpakaian sut mengetuk cermin kereta sambil mengarahkan Ong supaya bergerak dan mangsa menggunakan bahasa isyarat cuba memberitahu lelaki bersut itu bahawa dia sedang menunggu penumpang yang masih di luar keretanya. 

Beberapa saat kemudian seorang lagi lelaki berpakaian sut dipercayai anggota pengiring terbabit muncul di sebelah tingkap tempat duduk pemandu dan bertindak menumbuk pemandu OKU berkenaan.

Pada 5 Jun lepas, Razarudin berkata pihaknya telah merujuk kertas siasatan kepada Pejabat Timbalan Pendakwa Raya pada hari sebelumnya (4 Jun) untuk tindakan lanjut.

Beliau berkata 12 individu termasuk mangsa, pekerja hotel dan pegawai juruiring kepada orang kenamaan terbabit dipanggil memberi keterangan.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan