JENAYAH & MAHKAMAH

LAPAN LAGI INDIVIDU DITAHAN BERHUBUNG PERGADUHAN, RUSUHAN DI PUSAT HIBURAN

15/08/2024 02:09 PM

PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Polis menahan lapan lagi individu bagi membantu siasatan berhubung kes pergaduhan dan rusuhan di sebuah pusat hiburan di Pudu, Kuala Lumpur pada 10 Ogos lepas, menjadikan jumlah tangkapan kini 12 individu.

Ketua Polis Kuala Lumpur Datuk Rusdi Mohd Isa berkata kesemua suspek berusia antara 20 hingga 40 tahun itu kini ditahan reman, dan polis sedang giat memburu beberapa lagi suspek. 

Beliau berkata dua kertas siasatan telah dibuka di bawah Seksyen 148 Kanun Keseksaan dan Seksyen 39 Akta Senjata Api 1960 bagi menyiasat kejadian itu, yang dipercayai berpunca daripada perselisihan faham mengenai perniagaan dan hutang.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas majlis serah terima tugas Ketua Polis Daerah Putrajaya di sini hari ini, yang menyaksikan bekas Ketua Polis Daerah Port Dickson ACP Aidi Sham Mohamed dilantik sebagai Ketua Polis Daerah Putrajaya baharu.

Aidi Sham mengambil alih tempat SAC A.Asmadi Abdul Aziz yang bertukar ke jawatan SAC Modenisasi Pengurusan Organisasi, Urus Setia KPN (Penyelidikan dan Pembangunan) Urus Setia Pejabat KPN, Bukit Aman.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan