AM

RASAI KEENAKAN KUIH TRADISIONAL DI PROGRAM MADANI RAKYAT ZON SELATAN

15/08/2024 04:08 PM

JOHOR BAHRU, 15 Ogos (Bernama) -- Kelibat hampir 20 individu segak mengenakan busana tradisional berwarna-warni sambil memegang dulang anyaman berisi makanan unik pelbagai kaum di negara ini, menarik perhatian pengunjung pada Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan di sini hari ini.

Bukan sekadar mempamerkan kecantikan busana tradisional, malah dengan senyuman yang terukir mereka menyambut kehadiran orang ramai di reruai Kementerian Perpaduan Negara dan mempelawa merasai keenakan juadah tradisi sambil memberikan penerangan mengenai keunikan setiap makanan itu. 

Antara busana yang diperagakan ialah kebaya dan kurung selain pakaian kaum India lehenga, baju etnik Sabah dan Sarawak serta Orang Asli. 

Juadah disediakan pula seperti kuih tradisi Kelantan seperti Gelembung Buaya serta kuih Akaq Nyoq yang popular di utara Semenanjung selain kuih bulan, kuih bakul, seedai serta boondi, manakala makanan dari   Sabah dan Sarawak ialah amplang, latok, ambuyat dan kuih apong. 

Ketua Penolong Setiausaha Kementerian Perpaduan Negara Datin Che Norshina Mohd Hashim berkata insiatif berkenaan antara kaedah secara tidak langsung bagi mempamerkan dan memperkenalkan makanan serta pakaian tradisi pelbagai kaum di negara ini dalam usaha memupuk semangat perpaduan.

“Selalunya apabila kita buat program seperti ini baru kita nampak masih ramai yang tidak tahu makanan dan pakaian tradisi kaum lain, sebab itu kita ambil inisiatif untuk mempromosikan keunikan menerusi program seperti ini,” katanya ketika ditemui Bernama di sini hari ini. 

Kanak-kanak juga berpeluang mencuba pelbagai busana tradisional di rerurai berkenaan dan bergambar untuk kenang-kenangan.

Sementara itu, seorang pengunjung Aslina Yahya, 34, dari Johor Bahru berkata ini kali pertama beliau mencuba makanan latok iaitu juadah popular di Sabah yang selama ini hanya dapat dilihat menerusi media sosial. 

“Rasa tak cukup makan satu, lepas ini kalau ke Sabah saya rasa nak beli latok banyak-banyak,” katanya.

Program MADANI Rakyat 2024 Zon Selatan merangkumi Johor, Negeri Sembilan dan Melaka itu anjuran Pejabat Perdana Menteri menerusi Unit Penyelarasan Lonjakan Prestasi (PACU) dengan kerjasama strategik Kementerian Ekonomi dan kerajaan Johor.

Program akan berlangsung selama tiga hari bermula hari ini di Dataran Universiti Teknologi Malaysia (UTM) Skudai. 

 -- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan