DUNIA

BURSA MALAYSIA RENDAH PADA TENGAH HARI

15/08/2024 02:30 PM

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) -- Bursa Malaysia rendah semasa mengakhiri dagangan sesi pagi pada Khamis, disebabkan pengambilan untung yang berterusan dalam kebanyakan indeks utama dan saham wajaran tinggi terpilih.

Pada 12.30 tengah hari, FTSE Bursa Malaysia KLCI (FBM KLCI) turun 2.41 mata kepada 1,609.94 daripada 1,612.35 ketika ditutup pada Rabu.

Indeks utama itu dibuka 2.28 mata lebih tinggi kepada 1,614.63 sebelum bergerak antara 1,605.59 dengan 1,614.69 sepanjang sesi itu.

Bagi keseluruhan pasaran, kaunter rugi mengatasi kaunter untung sebanyak 684 berbanding 242 manakala 410 kaunter tidak berubah, 1,141 kaunter tidak diniagakan dan 10 yang lain digantung.

Jumlah dagangan sebanyak 2.23 bilion unit bernilai RM1.37 bilion.

Malacca Securities Sdn Bhd berkata susulan sentimen positif di Wall Street, ia percaya minat belian mungkin mempengaruhi saham tempatan khususnya dalam sektor teknologi.

“Selain itu, keadaan ringgit yang kukuh mungkin memberi manfaat kepada sektor pengguna dan REIT. Dari segi teknikal, paras rintangan dijangkakan sekitar 1,627 hingga 1,632, manakala paras sokongan ditetapkan pada 1,592 hingga 1,597,” katanya dalam nota penyelidikan hari ini.

Bagi saham wajaran tinggi, Petronas Chemicals turun 12.0 sen kepada RM5.33, Petronas Dagangan jatuh 50 sen kepada RM18.98, SD Guthrie merosot 7.0 sen kepada RM4.54, manakala Maybank dan CelcomDigi susut 4.0 sen, masing-masing kepada RM10.16 dan RM3.80.

Antara kaunter yang paling aktif, SP Setia jatuh 24 sen kepada RM1.28, Cape EMS menguncup 3.0 sen kepada 43 sen, Sime Darby Property turun 13.0 sen kepada RM1.36 dan Hiap Teck Venture berkurangan 0.5 sen kepada 11.5 sen. 

Di papan indeks, Indeks FBM Emas susut 34.21 mata kepada 12,255.31, Indeks FBMT 100 turun 31.03 mata kepada 11,898.21, Indeks FBM Emas Shariah berkurangan 66.39 mata kepada 12,363.13.

Indeks FBM 70 susut 213.78 mata kepada 17,701.79 manakala Indeks FBM ACE jatuh 67.83 mata kepada 5,323.46.

Mengikut sektor, Indeks Perkhidmatan Kewangan menambah 5.52 mata kepada 18,228.77, Indeks Perladangan jatuh 23.88 mata kepada 7,134.00, Indeks Produk dan Perkhidmatan Perindustrian merosot 2.24 mata kepada 180.79 dan Indeks Tenaga jatuh 0.88 mata kepada 932.76.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan