AM

TPM AHMAD ZAHID AJAK WARGA KKDW MAIN PERANAN MERDEKAKAN, BEBASKAN PEMIKIRAN

15/08/2024 04:11 PM

PUTRAJAYA, 15 Ogos (Bernama) -- Timbalan Perdana Menteri Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mahu semua warga Kementerian Kemajuan Desa dan Wilayah (KKDW) memainkan peranan memerdekakan dan membebaskan pemikiran, pendekatan serta tindakan, daripada sikap yang hanya mahu menyambung legasi ditinggalkan sebelum ini.

Beliau yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah berkata perubahan itu perlu kerana ia melambangkan bahawa setiap warga memiliki kemahuan yang kuat untuk mencipta kelainan dan menjadi ‘game changer’ dari semasa ke semasa.

“Zaman berubah. Dahulu dan sekarang jauh bezanya. Justeru, kita juga perlu mengubah pendekatan, menganjak pemikiran untuk sentiasa mencipta kelainan. Berubah kepada budaya kerja lebih cekap untuk membawa impak positif kepada agensi dan masyarakat.

“Amat malu dan menyedihkan sekiranya kita menyambung legasi secara sambil lewa tanpa usaha mencipta pembaharuan dan tiada kesedaran untuk membuat perubahan yang mampu melonjakkan pencapaian,” katanya ketika berucap pada Majlis Perhimpunan Bulan Ogos dan Pelancaran Bulan Kebangsaan dan Jalur Gemilang KKDW di sini hari ini.

Sempena bulan kemerdekaan, Ahmad Zahid menyeru warga KKDW untuk terus berusaha dalam memartabatkan negara dengan memberi makna kepada erti kemerdekaan melalui jiwa dan pemikiran merdeka mengikut citra seasa selari dengan tema Hari Kebangsaan dan Hari Malaysia 2024 ‘Malaysia MADANI: Jiwa Merdeka’.

Beliau berkata kerajaan sentiasa komited memastikan pembangunan inklusif dan seimbang dapat mengisi kemerdekaan agar masyarakat luar bandar bebas merdeka dari kemunduran, keciciran dan kemiskinan. 

Ahmad Zahid seterusnya meluahkan rasa bangga kerana syarikat-syarikan milikan agensi KKDW berjaya menjadi syarikat yang memperoleh keuntungan berkat tindakan proaktif dalam penetapan hala tuju dan pemantauan yang efektif ke atas pencapaian syarikat.

“Saya rasa warga KKDW betul-betul menterjemahkan apa yang saya sebutkan di perhimpunan yang lepas untuk terus jadi yang terbaik antara yang terbaik, kita tidak boleh mudah berpuas hati dengan apa yang telah dicapai, kita tidak boleh selesa, kita tidak boleh biasa-biasa,” katanya.

Pada majlis itu juga Timbalan Perdana Menteri mengucapkan tahniah kepada warga KKDW kerana berjaya mendapat pengiktirafan Malaysia Books of Records selepas menghasilkan Jalur Gemilang terpanjang iaitu 129 meter dan terbanyak menggunakan bahan terpakai iaitu 171,823 penutup botol.

Beliau turut melancarkan rancangan Ronda Desa yang mempunyai 12 episod terbitan KKDW yang memaparkan kisah kejayaan kementerian itu dalam membangunkan sosioekonomi masyarakat Desa MADANI.

Rancangan itu akan disiarkan pada setiap hari Sabtu bermula 31 Ogos ini bermula pukul 4.30 petang menerusi saluran televisyen tempatan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan