EKONOMI

PKNS, HCK CAPITAL BERKERJASAMA BANGUNKAN BANDAR PINTAR E.SENTRAL

15/08/2024 05:19 PM

SUNGAI BULOH, 15 Ogos (Bernama) -- Perbadanan Kemajuan Negeri Selangor (PKNS) bekerjasama dengan pemaju hartanah, HCK Capital Group Berhad (HCK Capital) membangunkan projek bandar pintar e.Sentral dalam usaha bersama mereka memperkasakan bandar raya rendah karbon.

Timbalan Ketua Pegawai Eksekutif (Pembangunan) PKNS, Md Kamarzan Md Rais berkata projek bandar pintar berbentuk ‘mixed-use development’ di Subang Perdana itu dibangunkan di atas tanah seluas 4.047 hektar (10 ekar) dengan memberi tumpuan terhadap elemen alam sekitar, sosial dan tadbir urus (ESG).

“Ini merupakan julung kali PKNS bekerjasama dengan HCK Capital dan projek ini merupakan bandar pintar pertama mereka. Menerusi kerjasama ini, PKNS mempunyai 30 peratus pegangan dan pembangunan yang bakal dilaksana mengikut perancangan yang dipersetujui bersama.

“PKNS sentiasa mengalu-alukan kerjasama dengan pemaju lain dalam membangunkan bandar pintar lain yang lengkap dengan pelbagai kemudahan,” katanya ditemui pemberita selepas majlis pecah tanah bagi pelancaran projek berkenaan di sini hari ini.

Sementara itu, Pengarah Urusan Kumpulan HCK Capital, Datuk Dr Dennis Ling ketika ditemui pada majlis sama berkata projek bandar pintar tersebut akan dibahagi kepada dua fasa pembangunan dengan fasa pertama akan dilaksanakan bermula bulan depan.

“Fasa pertama mula dibangunkan bulan depan dan keseluruhan projek dijangka selesai dalam tempoh tiga tahun setengah. Sebanyak 3,000 unit ditawarkan bagi kedua-dua fasa dengan tawaran harga RM300,000 hingga RM550,000.

“PKNS mempunyai kepakaran dalam membangunkan komuniti mampan manakala HCK Capital pula menyumbang teknologi pintar dan reka bentuk mesra alam. Bersama-sama, kami menetapkan piawaian baharu untuk bandar pintar,” katanya.

Beliau berkata projek terbaharu itu akan menjadi mercu tanda bagi pasaran hartanah yang mengetengahkan konsep bandar pintar dengan unsur alam semulajadi.

“Subang Perdana dipilih kerana kawasannya strategik, berdekatan dengan kawasan hutan. Dengan pembangunan bandar pintar ini, ia sebahagian perancangan ke arah bandar rendah karbon,” katanya.

Projek bandar pintar e.Sentral akan menawarkan ciri-ciri canggih antaranya pengecaman plat kereta di pintu penghalang, pengecaman muka di lobi dan teknologi ‘motion sensors’ untuk menjimatkan penggunaan tenaga.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan