EKONOMI

RISDA DIGESA CARI TEKNOLOGI BAHARU BANTU PEKEBUN KECIL KELUARKAN LATEKS - ZAHID

15/08/2024 07:02 PM

GUA MUSANG, 15 Ogos (Bernama) -- Pihak Berkuasa Kemajuan Pekebun Kecil Perusahaan Getah (RISDA) digesa mencari kaedah bagi menyediakan teknologi baharu pengeluaran susu getah atau lateks kepada pekebun kecil.

Timbalan Perdana yang juga Menteri Kemajuan Desa dan Wilayah Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi berkata ketika ini Malaysia agak ketinggalan dalam persaingan pengeluaran lateks dunia dan terpaksa membelanjakan sehingga RM6 bilion untuk mengimport lateks dari negara pengeluar getah lain.

"Lateks sepatutnya dikeluarkan oleh ladang dan pekebun kecil, tetapi oleh kerana kos pengeluaran yang agak tinggi, maka pengilang dalam negara terpaksa mengimport lateks dari negara pengeluar getah lain," katanya pada Hari Terbuka RISDA Peringkat Negeri Kelantan 2024, di Kg Kala Star, di sini, hari ini.

Turut hadir, Menteri Dalam Negeri Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail, Pengerusi MARA Datuk Dr Asyraf Wajdi Dusuki, Pengerusi Felcra Datuk Seri Ahmad Jazlan Yaakub, Pengerusi Lembaga Kemajuan Kelantan Selatan (Kesedar) Datuk Zawawi Othman dan Ketua Pengarah Risda Zainal Azni Zulkifli.

Ahmad Zahid berkata pengurusan RISDA harus berazam untuk meningkatkan pengeluaran lateks negara, sekali gus mengembalikan kedudukan Malaysia sebagai pengeluar hasil getah utama dunia.

Menurutnya, penggunaan teknologi baharu mampu mengatasi masalah kekurangan pekerja dalam pengeluaran lateks dan produk hiliran yang menyebabkan kedudukan negara sebagai antara pengeluar hasil getah utama dunia terjejas.

Sementara itu, beliau juga mahu penanaman semula dan proses pemulihan terhadap pokok getah berpenyakit dilaksanakan secara berfasa, selain memberi tumpuan kepada aktiviti hiliran.

Memandangkan negara menghadapi kekurangan pengeluaran balak, beliau mahu RISDA menggunakan kayu getah tua sebagai bahan alternatif utama pembuatan perabot dalam negara.

"Daripada 400,000 hektar tanah pekebun kecil getah yang perlu ditanam semula ini, setiap tahun sekurang-kurangnya 40,000 hektar ditebang, kayu lama ini diproses untuk dijadikan perabot dan ini adalah satu daripada industri yang memberi pendapatan besar kepada negara.

"Kita akan membantu kilang perabot terutamanya di Muar untuk mengeluarkan perabot berasaskan kayu getah untuk dieksport," katanya sambil menambah ia akan dilakukan dengan kerjasama Kementerian Perladangan dan Komoditi (KPK).

Selain itu, beliau berkata, pekebun kecil getah juga perlu dibantu untuk terlibat dalam pengeluaran makanan negara menggunakan tanah yang kurang dimanfaatkan atau tidak dimanfaatkan untuk menternak ayam melalui kerjasama RISDA dan pihak swasta.

"Tujuannya supaya harga ayam dapat diseimbangkan dan ini telah dimulakan oleh Felcra dan akan diikuti oleh RISDA. Ertinya, tanah itu bukan hanya dapat memberi manfaat kepada pekebun kecil getah, tetapi juga kepada keterjaminan makanan negara," katanya.

Ahmad Zahid juga berharap agar RISDA turut terlibat dalam pengeluaran bahan makanan untuk ayam dan ternakan lain bersama-sama lembaga kemajuan wilayah yang lain bagi mengurangkan kebergantungan negara terhadap makanan ternakan yang diimport.

-- BERNAMA

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan