DUNIA

RINGGIT DITUTUP RENDAH BERBANDING DOLAR AS

15/08/2024 07:16 PM

Oleh Zufazlin Baharuddin

KUALA LUMPUR, 15 Ogos (Bernama) --  Ringgit ditutup rendah berbanding dolar Amerika Syarikat (AS) hari ini meskipun data Indeks Harga Pengguna (CPI) yang lemah semalam, menunjukkan inflasi yang rendah membolehkan Rizab Persekutuan AS (Fed) menurunkan kadar faedah.

Pada 6 petang, ringgit susut kepada 4.4350/4405 berbanding dolar AS 4.4170/4235 ketika ditutup semalam.

Data CPI AS untuk Julai turun kepada 2.9 peratus pada asas tahunan berbanding tiga peratus pada Jun. 

Ketua Ahli Ekonomi Bank Muamalat Malaysia Bhd Dr Mohd Afzanizam Abdul Rashid berkata ringgit meningkat dengan ketara berbanding dolar AS sejak isyarat untuk penurunan kadar di AS mendapat momentum.

Semalam, ringgit ditutup pada paras paling kukuh dalam tempoh 16 bulan selepas ia mencecah paras 4.41 semula.

“Selain itu, jangkaan terhadap Keluaran Dalam Negara Kasar suku kedua 2024 yang kukuh di Malaysia yang akan diumumkan esok menyebabkan peniaga lebih yakin dengan prospek peningkatan nilai ringgit.

“Bagaimanapun, pergerakan mata wang berubah-ubah dan ia tertakluk kepada turun naik pasaran kerana peniaga mungkin mahu memperoleh sedikit keuntungan,” katanya kepada Bernama.

Pada penutup dagangan, ringgit diniagakan rendah berbanding sekumpulan mata wang utama.

Ia susut berbanding yen Jepun kepada 3.0092/0132 daripada 3.0027/0073 ketika ditutup semalam, merosot berbanding pound Britain kepada 5.7007/7078 daripada 5.6754/6838 dan turun berbanding euro kepada 4.8838/8899 daripada 4.8684/8756 sebelum itu.

Sementara itu, ringgit diniagakan rendah berbanding mata wang ASEAN.

Mata wang tempatan itu susut berbanding dolar Singapura kepada 3.3657/3699 daripada 3.3582/3634 ketika ditutup pada Rabu dan merosot berbanding peso Filipina kepada 7.79/7.80 daripada 7.75/7.77 sebelumnya.

Ia turut susut berbanding rupiah Indonesia kepada 282.5/282.9 daripada 281.7/282.3 semalam dan turun berbanding baht Thailand kepada 12.6805/7013 daripada 12.6399/6668 sebelum itu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan