AM

UMK TUBUH DUA PUSAT PENYELIDIKAN BAHARU

15/08/2024 10:40 PM

KOTA BHARU, 15 Ogos (Bernama) -- Universiti Malaysia Kelantan (UMK) menubuhkan dua pusat penyelidikan baharu iaitu Pusat Inkubator Inovasi dan Usahawan (IEIC) dan Pusat TeknoKeusahawanan Emas, Nadir Bumi dan Bahan (GREAT).

Menteri Pendidikan Tinggi Datuk Seri Dr Zambry Abdul Kadir berkata inisiatif berkenaan berupaya memacu kemajuan ekonomi melalui penyelidikan, inovasi dan keusahawanan.

"Kementerian Pendidikan Tinggi (KPT) sentiasa menekankan kepentingan inovasi dan keusahawanan dalam pembangunan negara. 

"Kerajaan sentiasa menyokong usaha UMK kerana ia selaras dengan visi kami untuk menjadikan Malaysia sebuah negara berdaya saing dan berinovasi,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini sempena perasmian dua pusat penyelidikan itu di UMK Kampus Jeli.

Sementara itu, Naib Canselor UMK Datuk Dr Razli Che Razak berkata penubuhan IEIC dan GREAT menjadi bukti komitmen pusat pengajian tinggi itu yang berhasrat menjadi peneraju dalam pendidikan dan penyelidikan berkaitan keusahawanan serta inovasi.

Razli berkata pusat IEIC akan menjadi pemangkin kepada pembangunan ekonomi tempatan dan negara melalui penyelidikan, inovasi serta keusahawanan. 

"Kami komited untuk menyediakan ekosistem yang kondusif bagi pelajar dan usahawan untuk merealisasikan idea mereka,” katanya.

Beliau berkata GREAT pula bertujuan mengembangkan aktiviti penjanaan pendapatan di UMK serta membangunkan program berkaitan dengan emas, nadir bumi dan bahan mineral yang merangkumi bidang pendidikan, penyelidikan serta keusahawanan. 

GREAT berpotensi memperkembangkan sumber berharga seperti emas, nadir bumi dan bahan mineral yang ada di Malaysia terutama di Pantai Timur.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan