EKONOMI

MITI PEROLEH POTENSI EKSPORT RM8.33 BILION KE THAILAND - TENGKU ZAFRUL

16/08/2024 07:53 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pelaburan, Perdagangan dan Industri (MITI) meraih potensi eksport bernilai RM8.33 bilion menerusi Misi Perdagangan dan Pelaburan (TIM) ke Thailand selama dua hari bermula 15 Ogos lepas.

Menterinya, Tengku Datuk Seri Zafrul Abdul Aziz berkata hubungan dua hala Malaysia dan Thailand sememangnya saling menguntungkan selama beberapa dekad.

“Kami akan menyegerakan komitmen penyumberan terbaharu daripada syarikat-syarikat Thai ini termasuk dalam sektor halal yang mempunyai banyak potensi belum diteroka untuk kedua-dua negara,” katanya dalam kenyataan dikeluarkan pada Jumaat.

Misi itu diketuai Tengku Zafrul diiringi Duta Besar Malaysia ke Thailand, Datuk Jojie Samuel serta wakil-wakil daripada Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) dan Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA).

MITI turut berkongsi dengan syarikat Thailand tersebut beberapa rancangan mengenai Kepengerusian ASEAN oleh Malaysia pada 2025, bertujuan untuk menggalakkan kerjasama ekonomi serantau dengan memudahkan aliran perdagangan dan pelaburan yang lebih lancar untuk meningkatkan pertumbuhan serantau.

Tengku Zafrul juga menggalakkan pemain industri Thailand untuk terlibat dalam acara yang diterajui sektor swasta sekitar mesyuarat rasmi ASEAN pada 2025.

“Memandangkan Malaysia bersiap sedia untuk menjadi Pengerusi ASEAN pada 2025, penting bagi kedua-dua sektor awam dan swasta untuk bekerjasama dalam memajukan integrasi serantau dan membentuk kerjasama strategik khususnya dalam menangani trend mega yang memberi kesan kepada rantau ini termasuk geopolitik, keselamatan serantau, pendigitalan dan perubahan iklim,” katanya.

Dalam pada itu, MITI berkata Perbadanan Pembangunan Perdagangan Luar Malaysia (MATRADE) menganjurkan mesyuarat meja bulat dengan pegawai atasan daripada 12 syarikat korporat Thailand serta pertemuan satu dengan satu bersama lima syarikat terkemuka Thailand untuk memfasilitasi peluang perdagangan antara kedua-dua negara.

Secara kolektif, syarikat-syarikat Thai tersebut menjana pendapatan tahunan melebihi RM545 bilion dan mewakili pelbagai industri bernilai tinggi, termasuk minyak dan gas; elektrik dan elektronik; alat ganti dan komponen automotif; bahan kimia; serta barangan pengguna. 

“Antara produk berpotensi yang ingin diimport syarikat Malaysia termasuk gas asli cecair, petroleum mentah, pelarut kimia, bitumen, komponen automotif, baja, resin polimer dan komponen elektronik,” katanya.

Di peringkat rasmi, Menteri serta pegawai kanan MITI, Lembaga Pembangunan Pelaburan Malaysia (MIDA) dan MATRADE sebelum ini bertemu dengan pegawai Kementerian Perdagangan Thailand bagi mesyuarat Jawatankuasa Perdagangan Bersama (JTC) di Malaysia pada 4 Julai 2024.

Semasa JTC, kedua-dua negara telah bersetuju untuk menubuhkan Pasukan Petugas berkaitan Perdagangan dan Pelaburan untuk memberi tumpuan kepada, antara lain, kemudahan perdagangan, ketersambungan rentas sempadan dan kerjasama dalam pelbagai bidang seperti sektor halal untuk mencapai sasaran perdagangan US$30 bilion menjelang 2027.

Pada 2023, nilai perdagangan Malaysia dengan Thailand berjumlah RM113.37 bilion manakala lebihan dagangan sebanyak RM4.46 bilion

Dalam konteks ASEAN, Malaysia adalah rakan dagangan terbesar Thailand, destinasi eksport terbesar dan sumber import terbesar.

Eksport utama ke Thailand terdiri daripada produk elektrik dan elektronik, petroleum mentah, kimia dan produk kimia, LNG dan perkilangan logam.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan