SUKAN

STEPHANIE SUMBANG EMAS KEDUA SARAWAK, MELAKA KEKAL PENDAHULU SAINGAN WUSHU

15/08/2024 11:49 PM

KUCHING, 15 Ogos (Bernama) -- Aksi di laman sendiri ternyata memberi tuah buat atlet wushu tuan rumah Stephanie Ngu Chai Ern apabila merangkul pingat emas peribadi keduanya pada Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 di sini hari ini.

Selepas menghadiahkan Sarawak emas pertama dengan mengungguli final changquan wanita semalam, momentum kecemerlangan Stephanie tidak dapat disekat apabila beliau mendominasi saingan acara jianshu dengan mengumpul 9.610 mata untuk mengecewakan 12 pencabarnya.

Pingat perak acara itu diraih Kelly Chin Sy Jie dari Melaka yang mengutip 9.603 mata diikuti gangsa milik atlet Wilayah Persekutuan Lee Cheng Wei selepas hanya meraih 9.566 mata.

SUKMA kali ini merupakan penampilan keempat Stephanie selepas meraih dua pingat gangsa pada edisi 2016, serta masing-masing satu perak dan satu gangsa pada 2018 dan 2022.

Pada masa sama, final jianshu lelaki menyaksikan atlet Wilayah Persekutuan Wong Hong Man menyambar emas dengan kutipan mata tertinggi 9.580 mata sementara Koo Ming Xing dari Kedah meraih perak (9.556 mata) dan gangsa milik New Ben Jie dari Kelantan yang memungut 9.530 mata.

Sementara itu, Pulau Pinang meraih emas kedua mereka menerusi Lee Belfern dalam acara nangun wanita yang mengetepikan cabaran wakil Melaka Tan Pei Ler yang membawa pulang perak (9.483 mata) dan Eunice Pang Wei En dari Johor terpaksa berpuas hati dengan gangsa selepas meraih 9.423 mata.

Dalam saingan final nangun lelaki pula, atlet Perak Foo Mun Fei menggondol emas dengan pungutan mata 9.593 sekali gus mengubati kekecewaan selepas sekadar membawa pulang perak dalam acara nanquan semalam.

Pingat perak acara itu milik Chee Zi Xiang dari Johor yang mengutip 9.590 mata manakala Sing Guan Sheng dari Wilayah Persekutuan melengkapkan senarai podium di tempat ketiga dengan 9.570 mata.

Dalam pada itu, Walid Lachkar dari Brunei dan Wong Kai Xin dari Melaka memenangi emas masing-masing dalam acara daoshu lelaki dan wanita.

Terdahulu, atlet Negeri Sembilan Wong Zi Hong dan jaguh Selangor Mandy Cebelle Chen turut merangkul emas masing-masing dalam acara taijiquan lelaki dan wanita yang berlangsung pada sebelah pagi.

Melaka kini mengumpul tiga emas untuk berada di kedudukan teratas carta pingat bagi sukan wushu, diikuti Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Selangor yang masing-masing mengutip dua emas manakala Perak, Brunei dan Negeri Sembilan masing-masing dengan satu emas.

Esok, 14 pingat menjadi rebutan membabitkan kedua-dua rutin taolu (seni) dan sanda (tempur) pada hari terakhir sukan wushu dipertandingkan.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan