EKONOMI

AGROBANK DAPAT DANA RM6.23 JUTA BANTU USAHAWAN AGROMAKANAN DI SARAWAK

13/08/2024 03:17 PM

KUCHING, 13 Ogos (Bernama) -- Kementerian Pertanian dan Keterjaminan Makanan mengamanahkan Agrobank untuk menguruskan sebanyak RM6.23 juta peruntukan dana melalui pelbagai program bagi membantu usahawan agromakanan di Sarawak.

Dalam kenyataan hari ini, Agrobank berkata dana ini akan diagihkan melalui pelbagai inisiatif termasuk Dana Pembiayaan Agromakanan (DPA), Program Modenisasi Rantaian Nilai Agromakanan (PMRNA) dan Dana Pembiayaan Agromakanan Keluarga Malaysia (DPAKM). 

“Tanggungjawab yang digalas Agrobank ini membuktikan keyakinan kerajaan terhadap kepakaran dan kebolehan Agrobank untuk menguruskan dan mengagihkan dana secara efektif serta menyokong sektor pertanian di Sarawak,” katanya. 

Selain itu, Agrobank telah meluluskan dana pembiayaan sebanyak RM95.4 juta di bawah Skim Kredit Mikro Sarawak yang memberi manfaat kepada 2,758 peserta sehingga Julai lepas.

Presiden/Ketua Pegawai Eksekutif Agrobank Datuk Tengku Ahmad Badli Shah Raja Hussin berkata satu lokasi juga telah dikenal pasti bagi pembukaan semula cawangannya di daerah kecil Spaoh di bahagian Betong, 274 kilometer dari sini.

“Skim ini dan rancangan pembukaan cawangan kami menunjukkan pendekatan yang holistik untuk menyokong pembangunan negeri Sarawak,” katanya.

Selain itu, bank berkenaan bercadang untuk membuka cawangan di daerah Gedong di bahagian Serian selepas membuka cawangan baharu di Tanjung Manis, Mukah pada Mei tahun lepas. 

Sebelum ini, Agrobank telah melancarkan inisiatif tanpa tunai di daerah Daro di bahagian Mukah pada 10 Okt tahun lepas dan di Pasar Tamu Lawas di bahagian Limbang baru-baru ini untuk memudahkan transaksi tanpa tunai dalam kalangan usahawan tempatan. 

Agrobank juga antara bank yang menyediakan perkhidmatan mesin ATM di sembilan daerah pinggir bandar dan luar bandar di Sarawak yang terdiri daripada Padawan, Bau, Lundu, Sematan, Lingga, Pantu, Tebedu, Asajaya dan Sebuyau. 

“Agrobank mempunyai matlamat untuk meningkatkan ekonomi dan keterangkuman kewangan di Sarawak, pada masa yang sama memupuk kesejahteraan dalam kalangan komuniti yang pelbagai di negeri tersebut,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan