AM

PELARASAN GAJI: PENGHORMATAN PERLU DIPIKUL DENGAN TANGGUNGJAWAB TINGGI - KSN

16/08/2024 02:58 PM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Pelarasan gaji penjawat awam yang diumumkan kerajaan merupakan satu penghormatan dan pengiktirafan, namun ia perlu dipikul dengan tanggungjawab tinggi, kata Ketua Setiausaha Negara (KSN) Datuk Seri Shamsul Azri Abu Bakar.

"Kita perlu memenuhi jangkaan orang awam. Tiada yang percuma, segala-galanya mesti berdasarkan prestasi," katanya.

Beliau berkata demikian ketika ditemui media selepas Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 bertemakan ‘Perkhidmatan Awam MADANI’ yang dirasmikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, di sini hari ini.

Beliau juga merakamkan penghargaan kepada Perdana Menteri atas pengiktirafan terhadap keseluruhan jentera kerajaan, serta menghargai pengorbanan penjawat awam dalam memberikan khidmat terbaik.

Sementara itu, Ketua Pengarah Perkhidmatan Awam (KPPA) Datuk Seri Wan Ahmad Dahlan Abdul Aziz berkata reformasi perkhidmatan awam itu merupakan titik tolak bagi penjawat awam memulakan langkah baru dalam meningkatkan produktiviti, displin dan memberi perkhidmatan terbaik kepada rakyat.

"Penjawat awam perlu beralih dari acuan lama kepada acuan baharu. Kita tidak mahu lagi mendengar keluh kesah rakyat berkaitan perkhidmatan yang diberikan pegawai kerajaan, dari peringkat bawah sehingga ke atas," katanya.

Wan Ahmad Dahlan berkata beliau yakin dengan seluruh warga penjawat awam akan berusaha memberikan khidmat terbaik kepada negara.

Ketua Audit Negara Datuk Wan Suraya Wan Mohd Radzi pula berkata keprihatinan dan pengiktirafan Perdana Menteri diberikan kepada penjawat awam setelah sekian lama, melalui Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA), adalah amat dihargai.

"Komitmen Perdana Menteri terhadap prinsip integriti dan tadbir urus yang baik dalam pelaksanaan SSPA mengukuhkan lagi tekad warga Jabatan Audit Negara untuk memastikan kelangsungan perkhidmatan awam yang lebih efisien dan telus, serta memenuhi aspirasi MADANI," katanya.

Sementara itu, Ketua Pengarah Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Datuk Nor Hisham Mohammad berkata pengumuman reformasi perkhidmatan awam adalah langkah positif yang melibatkan kebajikan serta pendekatan strategik dalam menyelesaikan isu tertunggak.

"JBPM sangat meraikan pengumuman berkaitan kenaikan gred untuk SME (Subject Matter Expert) dan kenaikan pukal untuk Gred 41, 44 dan 48 yang telah lama berada di gred semasa," katanya.

Beliau berkata pengumuman itu akan memotivasikan penjawat awam, khusus petugas barisan hadapan untuk meningkatkan prestasi keseluruhan.

Terdahulu, Anwar mengumumkan bahawa kerajaan bersetuju menggantikan Sistem Saraan Malaysia (SSM) dengan SSPA berkuat kuasa mulai 1 Dis 2024.

SSPA mengandungi roh dan semangat reformasi perkhidmatan awam bagi menjayakan agenda Malaysia MADANI.

Terdapat tiga ikhtiar bagi mencapai objektif itu antaranya meningkatkan kadar produktiviti dan kecekapan perkhidmatan awam, meningkatkan kesediaan penjawat awam dalam melaksanakan perubahan dan meningkatkan daya saing negara.

SSPA adalah inisiatif kerajaan untuk memperbaharui dan meningkatkan kualiti perkhidmatan awam dengan fokus pada peningkatan produktiiti perkhidmatan awam, menangani pendapatan yang tidak seiring dengan kos sara hidup serta mengukuhkan kemampanan fiskal negara.

Turut diumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus untuk pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional; serta pelarasan gaji sebanyak tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi.

Pemberian pelarasan gaji itu akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi fasa 1 dan fasa 2 pada 1 Jan 2026.

-- BERNAMA 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan