EKONOMI

RASIONALISASI DIESEL BERI KESAN MINIMUM TERHADAP INFLASI - BNM

16/08/2024 04:12 PM

KUALA LUMPUR, 16 Ogos -- Kesan daripada rasionalisasi subsidi diesel yang dilaksanakan baru-baru ini kekal terkawal susulan langkah-langkah mitigasi kerajaan walaupun terdapat sedikit peningkatan dalam inflasi, kata Bank Negara Malaysia (BNM).

Gabenor BNM Datuk Seri Abdul Rasheed Ghaffour berkata langkah itu meminimumkan kesan kos kepada perniagaan.

Setakat Jun, kesannya agak minimum dan berdasarkan prestasi separuh tahun pertama, inflasi tidak akan melebihi 3.0 peratus tahun ini tanpa mengambil kira keadaan di luar jangka seperti berlaku kejutan di peringkat tempatan dan luaran, katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media mengenai prestasi Keluaran Dalam Negara Kasar (KDNK) Malaysia bagi suku kedua 2024 hari ini.

Sehubungan itu, beliau berkata unjuran inflasi keseluruhan dan inflasi teras bagi tahun ini akan kekal masing-masing dalam julat 2.0 peratus-3.5 peratus dan 2.0-3.0 peratus.

Abdul Rasheed berkata kesan rasionalisasi subsidi diesel dan RON95 telah diambil kira dalam jangkaan tersebut.

Bagaimanapun, Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim baru-baru ini berkata rasionalisasi subsidi tidak akan dilaksnakan terhadap petrol RON95 buat masa ini kerana kerajaan mahu memastikan orang ramai memahami sepenuhnya langkah itu.

Semasa sidang media, Abdul Rasheed turut menekankan kenaikan dua angka konsisten dalam inflasi kos perubatan yang memerlukan tindakan kolektif oleh pihak berkepentingan.

Beliau berkata inflasi kos perubatan di Malaysia meningkat 12.6 peratus tahun lepas, lebih dua kali ganda daripada purata global sebanyak 5.6 peratus dan 6.2 peratus dicatatkan di Asia Pasifik.

Oleh itu, BNM telah mewajibkan penanggung insurans/pengendali takaful (ITO) untuk menyediakan pilihan pembayaran bersama untuk produk insurans dan takaful (MHIT) perubatan dan kesihatan.

“Ini sebenarnya untuk memberi pilihan kepada pengguna. BNM mewajibkan bank mulai September untuk menawarkan produk dengan elemen pembayaran bersama...ia adalah pilihan alternatif,” katanya.

Beliau berkata produk pembayaran bersama adalah 19 peratus hingga 68 peratus lebih murah berbanding produk yang serupa tetapi tidak mempunyai ciri tersebut (pembayaran bersama).

Untuk melindungi pengguna, ITO perlu memaklumkan had maksimum pembayaran bersama yang telah mereka tetapkan sebelum pengguna membuat pembelian.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan