AM

PROGRAM 1RUMAH 1JALUR GEMILANG SEMAKIN DAPAT REAKSI POSITIF PENDUDUK PERLIS

16/08/2024 04:25 PM

ARAU, 16 Ogos (Bernama) -- Program 1Rumah 1Jalur Gemilang di Perlis semakin mendapat reaksi positif daripada penduduk negeri itu apabila didapati sudah banyak kawasan perumahan memasang Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan pada tahun ini.

Pengarah Penerangan Perlis Mazli Hamdan berkata pihaknya mendapati orang ramai di negeri itu mula memasang Jalur Gemilang di kediaman masing-masing sekali gus dapat menyemarakkan lagi sambutan Bulan Kebangsaan dan meningkatkan lagi semangat patriotisme.

“Program 1Rumah 1Jalur Gemilang di Perlis dilihat positif apabila orang ramai di Perlis mula memasang Jalur Gemilang di setiap kawasan perumahan,” katanya kepada pemberita pada program Walkabout Sana Sini Jalur Gemilang di Nat Pokok Getah di sini hari ini.

Terdahulu, Jalur Gemilang turut diedarkan kepada peniaga dan orang ramai pada program itu yang turut disertai Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Indera Kayangan dari Pakatan Harapan (PH) Gan Ay Ling.  

Program 1Rumah 1Jalur Gemilang dilaksanakan Kementerian Komunikasi dalam usaha menyemarakkan amalan mengibarkan Jalur Gemilang sempena sambutan Bulan Kebangsaan.

Mazli berkata program itu akan diteruskan lagi pada 21 dan 22 Ogos nanti, masing-masing di Padang Besar dan Kangar bagi mencapai sasaran pihaknya untuk mengedarkan 1,000 Jalur Gemilang di seluruh Perlis.

Dalam pada itu, pengunjung berasal dari Pauh, Arau Kartini Osman, 51, berkata beliau sudah memasang Jalur Gemilang di rumahnya sempena Bulan Kebangsaan ini bagi membuktikan semangat cintakan negara.

"Saya sudah pasang Jalur Gemilang di rumah, lagi pula Bulan Kemerdekaan ini kita kena lebih bersemangat patriotisme, tunjuk kepada generasi muda amalan kibarkan Jalur Gemilang sebagai tanda kita sayangi Malaysia," katanya.

Sementara itu, peniaga buah-buahan Hassan Ismail, 52, pula berkata program walkabout itu sangat bagus kerana dapat mengajak orang ramai mengibarkan Jalur Gemilang sempena Bulan Kebangsaan ini dan beliau sendiri telah pun memasang Jalur Gemilang di kediamannya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan