AM

SSPA BERI KESAN DOMINO BAIK KEPADA PRESTASI KERJA, EKONOMI

16/08/2024 05:21 PM

PUTRAJAYA, 16 Ogos (Bernama) -- Anggota Kabinet hari ini menzahirkan keyakinan bahawa pelarasan gaji penjawat awam seperti diumumkan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, akan memberi kesan domino yang baik kepada prestasi kerja penjawat awam dan ekonomi negara.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Wilayah Persekutuan) Dr Zaliha Mustafa berkata berita baik tersebut, akan memberi semangat kepada semua penjawat awam untuk meningkatkan prestasi kerja seperti diinginkan Anwar ketika berucap pada Majlis Amanat Perdana Perkhidmatan Awam (MAPPA) ke-19 bertemakan ‘Perkhidmatan Awam MADANI’ hari ini.

“Sudah pasti harapan daripada kerajaan adalah untuk melihat prestasi lebih baik daripada penjawat awam. Kita tahu prestasi kerajaan bergantung sepenuhnya kepada perkhidmatan awam.

“Kalau prestasi perkhidmatan awam meningkat, sudah tentu ia akan berikan imej baik kepada negara dan secara tidak langsung akan membawa pelaburan lebih banyak dan tingkatkan ekonomi negara,” katanya ketika ditemui Bernama selepas MAPPA di sini hari ini.

Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.

Menteri Kesihatan Datuk Seri Dr Dzulkefly Ahmad pula berkata pengumuman tersebut menunjukkan keprihatinan, kepekaan dan penghargaan kerajaan terhadap penjawat awam khususnya kepada barisan petugas hadapan.

“Ia amat dialu-alukan oleh kami (warga Kementerian Kesihatan) kerana kami ingin mengekalkan pakar kami, dan (untuk itu) mesti diberi pampasan yang baik untuk memastikan mereka kekal bersama kami.

“Kini adalah masanya untuk kesemua warga Kementerian Kesihatan (KKM), dari yang paling bawah ke paling tinggi untuk lebih bersemangat dalam membaiki penyampaian perkhidmatan kesihatan,” katanya.

Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan Nga Kor Ming berkata saranan Perdana Menteri bahawa perlu ada anjakan paradigma dalam penyampaian perkhidmatan awam, perlu dijadikan motivasi untuk bekerja kuat demi rakyat.

“Produktiviti kerja harus ditingkatkan dan perlu mesra rakyat dalam semua aspek. Mesej penting yang saya ingin tekankan ialah Perdana Menteri masih bekerja tanpa gaji dan seluruh anggota Kabinet kekal potong gaji 20 peratus sehingga sekarang,” katanya yang mengulangi komitmen dan keprihatinan Kerajaan Perpaduan terhadap permasalahan rakyat.

Sementara itu Menteri Kerja Raya Datuk Seri Alexander Nanta Linggi berkata dengan pelarasan gaji berkenaan, penjawat awam kini memegang amanah yang lebih besar dalam konteks meningkatkan produktiviti dan akauntabiliti masing-masing.

“Perdana Menteri ingatkan semua tadi, jika anda mahukan anugerah lebih tinggi, kena pastikan ada produktiviti, kecekapan dan integriti. Negara perlu maju ke hadapan dan rakyat perlu bekerja keras, kerja membangunkan ekonomi supaya rakyat boleh hidup dengan baik,” katanya.

Senada dengan Nanta, Menteri Sumber Manusia Steven Sim berkata SSPA dijangka mewujudkan kesan limpahan ekonomi.

Sehubungan itu, beliau turut menyeru sektor swasta agar mencontohi langkah kerajaan menambah baik gaji pekerja bagi menghargai produktiviti dan sumbangan pekerja syarikat masing-masing.

“Syarikat juga digalakkan menyertai projek rintis gaji progresif yang sedang berjalan, bertujuan meningkatkan pendapatan pekerja, khususnya di sektor Perusahaan Kecil dan Sederhana (PKS). 

“Melalui program ini, kerajaan akan menyalurkan subsidi sehingga RM300 sebulan bagi setiap pekerja untuk syarikat yang mengambil bahagian, tertakluk kepada syarat-syarat yang ditetapkan,” katanya dalam kenyataan.

Sim turut memaklumkan Kementerian Sumber Manusia juga telah menerima syor Majlis Perundingan Gaji Negara dengan kadar gaji minimum yang baharu dan kini di peringkat untuk menyediakan kertas Jemaah Menteri untuk kelulusan.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan