AM

ULAR SAWA ALBINO SEBERAT 120 KILOGRAM JADI TUMPUAN RAMAI DI PMR ZON SELATAN

16/08/2024 05:59 PM

JOHOR BAHRU, 16 Ogos (Bernama) -- Dengan berat 120 kilogram, liuk gemalainya ular sawa berwarna putih kekuningan yang diberi nama gelaran ‘Minah’, terus menjadi tarikan ramai pengunjung ke rerurai Jabatan Bomba dan Penyelamat (JBPM) di Program MADANI Rakyat (PMR) 2024 Zon Selatan di sini untuk membelainya.

Walaupun kadangkala ada pengunjung terutama kanak-kanak menjerit kecil kerana ‘geli’ sebaik sahaja menyentuh kulit Minah, namun ular sawa yang berumur 10 tahun itu tetap setia ‘melayan’ pengunjung di reruai tersebut. 

Pegawai Bomba dari Balai Bomba Tebrau Noramey Halim berkata ular sawa Burma (Albino Burmese python) yang dibeli sebagai hantaran perkahwinan kira-kira 10 tahun lepas itu adalah teman sejatinya, malah sering bersamanya ketika tidur.

Noramey, 34, berkata ular sawa yang dibeli di sebuah kedai haiwan di Pulau Pinang pada 2014 ketika baru berusia dua bulan itu dinamakan Minah, kerana nama itu mudah diingat dan lebih bersifat kekampungan.

Minah sering dibawanya untuk menyertai pelbagai acara pameran atau pertunjukan, antaranya semasa sambutan Hari Kebangsaan 2023 di Putrajaya dan Sambutan Minggu Perpaduan Peringkat Kebangsaan 2024 di Johor Bahru. 

“Saya juga gunakan Minah untuk mengajar atau memberi pengalaman kepada anggota bomba baharu yang geli dan berasa fobia dengan ular, bagi menghilangkan ketakutan.

“Kerja menyelamat kita pun banyak bermain dengan ular, jadi kita kena belajarlah cara mengendalikan haiwan berbisa ini,” katanya ketika ditemui Bernama pada PMR Zon yang berlangsung di Dataran UTM, Skudai selama tiga hari bermula semalam.

Noramey yang merupakan antara perintis kepada penubuhan Skuad King Cobra JBPM berkata, Minah yang disimpan di kampung halamannya di Kluang, Johor diberi makan empat ekor ayam dalam sebulan, dan ular itu mempunyai nilai yang sangat sentimental kepada dirinya,

Beliau juga tidak pernah berasa geli dan takut dengan haiwan berkenaan dan melayannya seperti seekor kucing, disebabkan sifat Minah yang dikatakannya agak manja. 

Bapa kepada empat anak itu juga merupakan anak didik kepada pakar ular dan ketua Skuad King Cobra JBPM, Abu Zarin Hussin yang meninggal dunia pada Mac 2018 kerana dipatuk ular tedung dalam satu operasi di Bentong, Pahang. 

“Saya masih ingat pesan dia iaitu jangan leka, jangan lalai dan jangan tinggi diri walaupun kita sudah biasa dengan haiwan berbisa ini,” katanya.

Program MADANI Rakyat Zon Selatan merupakan ruang bagi kerajaan memaklumkan serta menguar-uarkan pencapaian serta manfaat Ekonomi MADANI kepada rakyat melalui pelbagai inisiatif dan komitmen berterusan dalam memperkasakan rakyat, usahawan dan industri.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan