SUKAN

23 EMAS JADI REBUTAN SEBELUM PERASMIAN SUKMA 2024 MALAM ESOK

16/08/2024 06:15 PM

KUCHING, 16 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 23 pingat emas ditawarkan esok sebelum acara kemuncak upacara pembukaan Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 pada sebelah malam di Stadium Sarawak.

Memaparkan keunikan budaya dan identiti Sarawak yang pelbagai, upacara pembukaan dijadual disempurnakan Yang Dipertua Negeri Tun Dr Wan Junaidi Tuanku Jaafar pada 8.30 malam. 

Pemburuan pingat emas oleh 15 kontinjen yang mengambil bahagian termasuk Brunei diteruskan pada sebelah siang antaranya acara berbasikal, gimrama, menembak, skuasy, taekwondo, tenpin boling, sepak takraw dan karate.

Karate yang membuka gelanggang secara rasmi di Dewan Institut Kemahiran Belia Negara (IKBN) Miri menawarkan tujuh emas dalam acara kata (lelaki dan wanita), kumite wanita 50 kilogram (kg) dan 55kg, kumite lelaki 50kg, 57kg dan 67kg.

Sementara itu, dua pingat emas menjadi rebutan di Stadium Muhibbah, Bintulu masing-masing melibatkan acara sepak takraw berpasukan lelaki dan wanita, manakala gimrama yang membuka tirai menawarkan satu emas acara berpasukan. 

Turut menjadi tumpuan esok pastinya Lapang Sasar Menembak, Petra Jaya di sini dengan taruhan empat pingat emas.

Di Megalanes Sarawak pula, acara tenpin boling yang memasuki hari ketiga menawarkan satu emas menerusi acara beregu campuran, sementara taekwondo yang menyaksikan perebutan pingat buat hari kedua di Stadium Perpaduan Petra Jaya di sini menawarkan enam emas.

Lebuh Raya Pehin Sri Adenan Satem di sini, masih menjadi tumpuan pada hari keempat acara berbasikal yang menawarkan dua pingat emas dalam acara kriterium lelaki dan wanita.

SUKMA 2024 menawarkan 488 pingat emas dalam 37 jenis sukan dengan kesemua acara berlangsung di 50 venue pertandingan dan lebih 12,000 atlet dari seluruh Malaysia termasuk Brunei mengesahkan penyertaan pada temasya dwitahunan kebangsaan itu.

Ikuti liputan komprehensif menerusi laman web khas sukma.bernama.com yang menyajikan berita berkaitan perkembangan semasa kontinjen negeri dan pencapaian mahupun cerita-cerita menarik atlet terlibat dalam temasya sukan itu.

Laman web dwibahasa itu juga memaparkan keputusan terkini selain galeri foto, video, carta pungutan pingat dan fakta menarik penganjuran SUKMA yang memasuki edisi ke-21.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan