AM

RUNDINGAN DUA BULAN DENGAN MESIR JAYAKAN MISI BAWA RAKYAT PALESTIN

16/08/2024 08:54 PM

SHAH ALAM, 16 Ogos (Bernama) -- Misi membawa rakyat Palestin yang cedera ke Malaysia bagi menerima rawatan di negara ini berjaya direalisasikan selepas beberapa siri rundingan khas selama dua bulan dengan kerajaan Mesir.

Menteri Pertahanan Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin berkata rundingan khas yang antaranya melibatkan kementeriannya, Kementerian Luar dan Majlis Keselamatan Negara dengan Mesir adalah bagi memperoleh kebenaran membawa penduduk Palestin yang cedera akibat keganasan Israel ke negara ini.

Beliau berkata misi itu dilaksanakan atas pertimbangan kemanusiaan serta rasa kebersamaan Malaysia dengan warga negara itu yang menderita akibat konflik di Gaza.  

Menurut Mohamed Khaled, usaha berkenaan tidak diuar-uarkan kepada pihak luar kerana tidak mahu rundingan bersama kerajaan Mesir terjejas.

"...dan hasilnya hari ini, kita berjaya membawa seramai 41 orang pesakit melibatkan 20 lelaki dan 21 wanita berusia lingkungan lapan bulan hingga 62 tahun, antara kecederaan yang mereka alami ialah patah dan kehilangan anggota badan terutamanya kaki dan tangan, luka parah di kepala dan kecederaan mata.

"Turut diterbangkan seramai 86 orang waris di mana mereka semua telah melalui tapisan khas dari  aspek kesihatan dan keselamatan," katanya dalam sidang media selepas melawat rakyat Palestin yang tiba di Pangkalan Tentera Udara Diraja Malaysia (TUDM) Subang, di sini hari ini.

Turut hadir Duta Palestin ke Malaysia Walid Abu Ali dan Duta Mesir ke Malaysia Ragai Nasr.

Terdahulu dua pesawat A400M TUDM yang diterbangkan dari Pangkalan Udara Al Maza, Mesir malam tadi tiba di pangkalan itu bersama 127 rakyat Palestin pada kira-kira 2 petang.

Mohamed Khaled berkata mereka yang cedera akan dirawat di Hospital Angkatan Tentera (HAT) Tuanku Mizan, Kuala Lumpur, manakala waris akan ditempatkan di lokasi transit yang disediakan oleh Kementerian Pertahanan.

"HAT Tuanku Mizan telah menyediakan tiga wad untuk menampung jumlah rakyat Palestin yang cedera ini dan mereka akan dibawa ke sana menggunakan 26 buah ambulans milik Angkatan Tentera Malaysia (ATM)," katanya.

Mengulas lanjut, Mohamed Khaled berkata keputusan membawa rakyat Palestin yang cedera ke negara ini juga disebabkan risiko tinggi untuk mengoperasikan hospital medan di Palestin termasuk terdedah kepada ancaman dibom Pasukan Pertahanan Israel (IDF).

"Oleh itu, lebih baik kita bawa balik mereka mendapatkan rawatan di negara ini tanpa apa-apa gangguan kerana ia lebih selamat buat mereka (rakyat Palestin) dan anggota ATM," katanya.

Sementara itu, Walid dalam sidang akhbar yang sama berkata Malaysia menjadi negara Asia pertama menerima rakyat Palestin yang cedera akibat konflik di Gaza.

"Kata-kata tidak cukup untuk mengucapkan terima kasih kepada Malaysia, terima kasih Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim, Angkatan Tentera Malaysia, dan kerajaan, saya percaya rakyat Palestin yang tiba hari ini akan merasakan Malaysia seperti rumah kedua, (dan) sebagai duta saya mahu berterima kasih kepada Malaysia atas apa yang anda lakukan untuk rakyat Palestin,” katanya.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan