POLITIK

PH TIDAK BERTANDING PRK DUN MAHKOTA - SAIFUDDIN NASUTION

17/08/2024 03:03 PM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Pakatan Harapan (PH) tidak akan meletakkan calon pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Mahkota di Johor pada September ini.

Ketua Setiausaha PH Datuk Seri Saifuddin Nasution Ismail berkata perkara itu dipersetujui pada mesyuarat kepimpinan tertinggi PH yang dipengerusikan Perdana Menteri Datuk Seri Anwar Ibrahim minggu lepas.

“PH bersetuju calon Barisan Nasional (BN) akan bertanding (pada PRK DUN Mahkota) sebagai menghormati kerusi penyandang sepertimana BN berbuat serupa ketika PRK Parlimen Pulai dan DUN Simpang Jeram pada September 2023.

“PH akan turun memberi sokongan dan dukungan sepenuhnya kerana mengekalkan kemenangan kerusi DUN Mahkota menjadi keutamaan dalam semangat Kerajaan Perpaduan hari ini,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Kerusi DUN Mahkota kosong susulan kematian penyandangnya Datuk Sharifah Azizah Syed Zain, 63, pada 2 Ogos lepas ketika menerima rawatan di Hospital Enche' Besar Hajjah Khalsom (HEBHK) di Kluang, Johor.

Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) menetapkan hari pengundian PRK itu pada 28 Sept, manakala tarikh penamaan calon dan pengundian awal masing-masing pada 14 dan 24 Sept.

Pada Pilihan Raya Negeri Johor Mac 2022, Sharifah Azizah yang juga calon BN memenangi kerusi DUN itu dengan majoriti 5,166 undi.

-- BERNAMA

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan