POLITIK

PRK DUN NENGGIRI: PEMIMPIN PARTI KOMPONEN KERAJAAN PERPADUAN UCAP TAHNIAH KEPADA AWIE

18/08/2024 01:08 AM

KUALA LUMPUR, 17 Ogos (Bernama) -- Beberapa pemimpin tertinggi parti komponen Kerajaan Perpaduan mengucapkan tahniah kepada calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani atas kemenangannya pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri hari ini.

Menerusi hantaran di laman Facebook, Timbalan Presiden UMNO Datuk Seri Mohamad Hasan merakamkan penghargaan kepada pengundi di kawasan itu yang memberikan semula mandat kepada BN.

Beliau turut mengucapkan selamat berkhidmat dan menjalankan amanah kepada Mohd Azmawi Fikri yang mesra disapa sebagai Awie.

"Tahniah dan syabas kepada seluruh petugas serta jentera parti yang bertungkus lumus untuk kemenangan ini. Semoga semua selamat kembali ke destinasi masing-masing," katanya.

Presiden Amanah Datuk Seri Mohamad Sabu pula berkata kemenangan itu bukan sahaja menggambarkan kepercayaan rakyat terhadap kepimpinan Kerajaan Perpaduan tetapi juga adalah manifestasi kesatuan dan kerjasama kukuh dalam gabungan politik berkenaan.

"Saya ingin merakamkan setinggi-tinggi penghargaan dan terima kasih kepada semua petugas serta jentera parti Kerajaan Perpaduan terutama daripada Amanah yang telah bekerja keras dan penuh dedikasi dalam memastikan kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di DUN Nenggiri.

"Komitmen dan usaha gigih anda semua adalah kunci kejayaan kita hari ini. Tahniah dan syabas diucapkan atas kemenangan calon Kerajaan Perpaduan di DUN Nenggiri," katanya sambil menambah Amanah akan terus komited memastikan kejayaan sama diperoleh bagi PRK DUN Mahkota di Johor.

Ketua Penerangan PKR Fahmi Fadzil turut mengucapkan tahniah kepada BN.

"Pengundi Nenggiri telah memilih. Tahniah BN," katanya menerusi catatan di laman Facebook.

Ahli Majlis Tertinggi UMNO Tengku Datuk Seri Zafrul Tengku Abdul Aziz, yang turut merakamkan ucapan tahniah kepada Mohd Azmawi Fikri, berkata kemenangan itu adalah hasil kerja keras jentera Kerajaan Perpaduan khususnya jentera UMNO dan BN dari seluruh negara.

"Ayuh kita jadikan kemenangan ini perangsang usaha meningkatkan kepercayaan rakyat kepada Kerajaan Perpaduan," katanya.

BN berjaya merampas semula kerusi DUN Nenggiri selepas calonnya Mohd Azmawi Fikri menang dengan majoriti besar 3,352 undi.

Ketua Pemuda UMNO Kelantan itu memperoleh 9,091 undi untuk menewaskan pencabarnya Mohd Rizwadi Ismail daripada PAS dan mewakili Perikatan Nasional, yang meraih 5,739 undi.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan