SUKAN

SUKMA 2024: NUR HAZIRAH RANGKUL EMAS KETIGA PERIBADI

18/08/2024 12:58 AM

KUCHING, 17 Ogos (Bernama) -- Atlet tuan rumah Nur Hazirah Ramli sekali lagi meneruskan penguasaan di Megalanes Sarawak apabila meraih emas ketiga peribadinya di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 hari ini.

Pemain berusia 21 tahun itu yang bergandingan dengan Fan Yew Tsen melakukan 2,547 jatuhan pin untuk mengungguli acara berpasangan campuran.

Beliau sebelum ini memenangi emas acara perseorangan dan berpasangan wanita bersama Lavinia Kho.

Sarawak turut menyapu pingat perak acara itu menerusi Muhammad Ihsan Fikri Suffian-Claudia Kumang Jakson yang melakukan 2,476 jatuhan pin, manakala Hafiz Darwisy Azhlan dan Nur Sara Shahira Mohamad Firdaus dari Pulau Pinang merangkul gangsa dengan 2,462 jatuhan pin.

Mengenai perancangan insentif RM45,000 yang bakal diterima daripada kerajaan negeri, Nur Hazirah berkata buat masa ini beliau belum ada perancangan khusus.

“Saya hanya mahu fokus kepada boling dan hanya akan memikirkan mengenai (sambung belajar) pada tahun hadapan, mungkin dalam bidang komunikasi,” katanya.

Semalam Premier Sarawak Tan Sri Abang Johari Tun Openg mengumumkan insentif RM15,000 kepada atlet negeri itu yang berjaya meraih pingat emas pada SUKMA dan Para SUKMA kali ini.

Pemenang pingat perak akan menerima RM5,000 manakala gangsa RM3,000.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan