SUKAN

PASUKAN RSYC BERLAYAR DEMI MALAYSIA DI BEIHAI, CHINA

18/08/2024 11:13 AM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Pasukan pelayaran dari Royal Selangor Yacht Club (RSYC) akan membawa cabaran Malaysia pada kejohanan Regatta Antarabangsa Belt & Road 2024 berlangsung di Beihai, China dari 10 hingga 12 Okt ini.

RSYC dalam kenyataan memaklumkan pasukan mereka mempertaruhkan enam pelayar berbakat diketuai Rizal Mahadi Sazili atau Tom selaku skipper dan dibantu bowman Muhammad Syafiq A. Rahim.

Kedua-dua mereka diperkuatkan dengan kehadiran tiga trimmer terdiri daripada Muhamad Faaiz Norizan,  Mohamad Hafizzudin Mazelan dan Muhammad Shaifullah Ali serta Ahmad Kashfi Alwi atau Ash sebagai pitman.

“Setiap ahli pasukan membawa pengalaman dan kemahiran yang unik untuk memastikan Malaysia dapat bersaing di peringkat tertinggi,” menurut kenyataan itu.

Sementara itu, Rizal berkata mereka sememangnya teruja dan berbesar hati dapat mewakili Malaysia pada saingan kali ini.

“Kami telah melakukan persiapan rapi dan bersemangat untuk menunjukkan prestasi terbaik dalam pertandingan ini,” katanya.

Regatta Antarabangsa Belt & Road 2024 merupakan satu daripada acara pelayaran paling berprestij di rantau ini serta menarik minat 24 pasukan dari seluruh dunia bersaing dalam beberapa perlumbaan laluan dan perlumbaan jarak jauh.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan