AM

SSPA JADI SUNTIKAN MOTIVASI, LONJAK PRESTASI KERJA PENJAWAT AWAM

18/08/2024 11:31 AM

MELAKA, 18 Ogos (Bernama) -- Sistem Saraan Perkhidmatan Awam (SSPA) dengan pelarasan gaji yang lebih tinggi, akan menjadi suntikan motivasi sekali gus melonjakkan prestasi kerja penjawat awam.

Naib Canselor Universiti Teknikal Malaysia Melaka (UTeM) Prof Datuk Dr Massila Kamalrudin berkata prestasi kerja unggul itu juga akan memberi impak langsung kepada keberkesanan penyampaian perkhidmatan kepada rakyat dan seterusnya menjayakan program Malaysia MADANI.

"Apabila kakitangan bekerja dengan semangat tinggi maka ia merefleksikan pula kepada peningkatan prestasi dan produktiviti jabatan. 

"Ia juga memberi anjakan ekonomi secara khusus bukan hanya kepada kakitangan kerajaan semata-mata malahan akan turut merangsang persekitaran ekonomi komuniti dan nasional," katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Pada Jumaat, Anwar yang juga Menteri Kewangan mengumumkan pelarasan gaji sebanyak 15 peratus kepada pegawai Kumpulan Pelaksana dan pegawai Kumpulan Pengurusan dan Profesional, dan tujuh peratus kepada pegawai Kumpulan Pengurusan Tertinggi (KPT).

Pelaksanaan pemberian pelarasan gaji berkenaan akan dilaksanakan secara berfasa iaitu pada 1 Dis 2024 bagi Fasa 1 dan pada 1 Jan 2026 bagi Fasa 2.

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan