JENAYAH & MAHKAMAH

42 MOTOSIKAL DISITA, 301 SAMAN DIKELUARKAN DALAM OPERASI DI TELUK INTAN

18/08/2024 03:08 PM

IPOH, 18 Ogos (Bernama) -- Sebanyak 42 motosikal disita selain 301 saman dikeluarkan atas pelbagai kesalahan dalam Operasi Samseng Jalanan dan Operasi Khas Ekzos Bising di Kilometer 43 Jalan Teluk Intan-Sitiawan, Teluk Intan.

Ketua Polis Daerah Hilir Perak ACP Ahmad Adnan Basri berkata enam lelaki berusia antara 18 hingga 21 tahun turut ditahan kerana menunggang secara melulu dan merbahaya mengikut Seksyen 42 (1) Akta Pengangkutan Jalan 1987 dalam operasi bermula pada 11 malam hingga 8.30 pagi tadi.

Beliau berkata operasi itu menumpukan kepada motosikal yang melakukan pengubahsuaian kenderaan sehingga menyebabkan gangguan bunyi serta mencegah samseng jalanan.

Ahmad Adnan berkata sebanyak 150 motosikal dan 21 kereta diperiksa melibatkan 211 pengguna jalan raya berumur antara 13 hingga 38 tahun.

"Kesalahan pengguna motosikal yang diperiksa adalah kesalahan aturan dengan 93 kes, nombor plat (82), tiada cermin sisi (41), ubah suai ekzos (34), tiada lesen memandu (28) dan Lesen Kenderaan Motor tamat tempoh (23)," katanya dalam kenyataan hari ini.

Beliau berkata Jabatan Alam Sekitar Negeri Perak turut mengeluarkan 15 notis dan 15 kompaun di bawah Akta Kualiti Alam Sekeliling 1974.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan