SUKAN

PERSEMBAHAN SELANGOR DI TSSC 2024 BERI AURA POSITIF UNTUK KE PIALA FA - NIDZAM

18/08/2024 04:49 PM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Persembahan ditampilkan skuad Pilihan Selangor pada Piala Sultan Selangor 2024 (TSSC) semalam memberi keyakinan kepada Pengendali Selangor Nidzam Jamil bahawa pasukan kendaliannya akan beraksi dengan baik pada Piala FA yang akan berlangsung Sabtu depan. 

Beliau berkata semua pemainnya memberi komitmen terbaik selain menampilkan aksi memberansangkan dan mengakui banyak perkara positif boleh dibawa sebagai bekalan untuk beraksi menentang Johor Darul Ta’zim pada piala berprestij itu kelak. 

Aksi TSSC yang berlangsung di Stadium Merdeka menyaksikan Pilihan Selangor sekali lagi menjulang kejuaraan untuk edisi ketiga berturut-turut selepas menewaskan Pilihan Singapura 2-1 menerusi jaringan  Ronnie Fernandez pada minit ke-82 dan Alvin Fortes di minit ke-90. 

“Gembira dengan persembahan dan banyak perkara positif yang kita nak bawa ke piala FA minggu depan, saya rasa semua pemain bagi komitmen terbaik,” kata Nidzam selepas perlawanan TSSC 2024 di Stadium Merdeka di sini semalam. 

Dalam pada itu, Nidzam mengakui pemain sayap Selangor FC Mohammad Faisal Abdul Halim yang pertama kali beraksi bagi musim ini berada di landasan terbaik ketika menampilkan aksi penuh pada babak pertama perlawanan semalam.

Beliau berkata pemain berusia 26 tahun itu akan terus didedahkan dengan perlawanan seperti ini pada masa akan datang dalam memastikan beliau terus mendapatkan rentak permainan selepas pulih dari kecederaan. 

Muhammad Faisal yang mesra disapa ‘Mickey’ semalam beraksi pada separuh masa pertama dan hampir menjaringkan beberapa gol. 

Pada 5 Mei lepas, Faisal mengalami kecederaan melecur tahap empat pada beberapa bahagian badan setelah disimbah asid oleh individu tidak dikenali di sebuah pusat beli-belah di Petaling Jaya dan beliau terpaksa menjalani rawatan di Unit Rawatan Rapi (ICU) selama kira-kira 10 hari.

-- BERNAMA

 

 

 

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan