AM

KANAK-KANAK ORANG ASLI DILAPORKAN HILANG DITEMUI MENINGGAL DUNIA

18/08/2024 03:55 PM

IPOH, 18 Ogos (Bernama) -- Seorang kanak-kanak perempuan Orang Asli yang dilaporkan hilang sejak Jumaat lepas ditemui meninggal dunia di kawasan berpaya di perkampungan Orang Asli Kampung Bersah, Pos Kuala Mu di Sungai Siput, semalam.

Ketua Polis Daerah Sungai Siput Supt Mohd Khaizam Ahmad Shahabudin berkata pihaknya menerima panggilan daripada penduduk kira-kira 1.30 awal pagi semalam yang memaklumkan berkenaan Nuraina Humaira Rosli, 10, yang tidak pulang ke rumah sejak Jumaat petang.

Beliau berkata mayat kanak-kanak terbabit ditemukan sekitar 4.20 petang semalam selepas pencarian dilakukan oleh kira-kira 60 orang melibatkan polis, bomba dan orang kampung dengan khidmat anjing pengesan (K9) milik Polis Diraja Malaysia sejak 7 pagi.

"Jumpa badan mangsa ini dalam kawasan berpaya berhampiran dengan kawasan perumahan mereka. Peringkat awal kita klasifikasi kes orang hilang, kemudian apabila dah jumpa dan disahkan kematian mangsa oleh pihak Hospital Sungai Siput pada 7 petang, kita klasifikasikan sebagai kes mati mengejut.

"Mayat dah dihantar ke Hospital Sungai Siput malam tadi, kita tunggu keputusan bedah siasat," katanya ketika dihubungi hari ini.

Mohd Khaizam berkata berdasarkan maklumat, mangsa mempunyai masalah pendengaran dan pada Jumaat lepas, mangsa hendak makan ayam goreng di sebuah surau di perkampungan itu selepas solat Jumaat, namun telah habis.

Beliau berkata mangsa kemudiannya telah pulang ke rumah dan diberi wang oleh ibunya untuk membeli ayam di kedai berdekatan tetapi ayam tiada.

"Dia (mangsa) pergi ke kedai, ayam tiada dan dia balik ke rumah beritahu emaknya bahawa ayam tiada, jadi bapa saudaranya yang perlu lakukan kerja lain seketika, suruh (mangsa) tunggu sekejap sebelum dia (bapa saudaranya) bawa ke kedai lain.

"Jadi masa menunggu itu, dia (mangsa) main dekat taman permainan, ada buaian di kawasan itu, selepas itu tak jumpa dia. Tunggu balik pun tak balik, sebab selalu lepas main dia balik," katanya.

Penduduk di kawasan berkenaan melakukan pencarian setelah mendapati kanak-kanak itu hilang sebelum usaha mereka gagal dan terus membuat laporan polis, kata beliau.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan