SUKAN

KEM BADMINTON WILAYAH PERSEKUTUAN YAKIN KUTIP DUA EMAS

18/08/2024 07:03 PM

SIBU, 18 Ogos (Bernama) -- Kem badminton Wilayah Persekutuan yakin mengutip dua pingat emas pada penyertaan di Sukan Malaysia (SUKMA) 2024 berikutan tujuh pemain yang berada dalam skuad itu mempunyai pengalaman beraksi dalam temasya sama, dua tahun lepas di Kuala Lumpur.

Pengurus pasukan Datuk Razif Sidek berkata sasaran mereka adalah untuk meraih sekurang-kurangnya dua emas namun sekiranya lebih, ia bonus untuk kontinjen itu.

“Sasaran emas tidak terhad kepada satu-satu kategori sahaja. Acara berpasukan, beregu campuran atau beregu wanita semuanya berpotensi untuk menghadirkan emas untuk kita (Wilayah Persekutuan).

“Kami harap perseorangan lelaki dan beregu lelaki menjadi sandaran utama serta mereka tidak berasa terlalu tertekan seterusnya mampu beraksi dengan baik dalam setiap perlawanan,” katanya kepada Bernama.

Mengulas mengenai prestasi ditampilkan pasukannya dalam kategori berpasukan campuran yang berjaya menempah tiket ke saingan suku akhir hari ini, Razif berkata ia permulaan baik serta pengakhiran yang cemerlang untuk peringkat kumpulan.

“Harap semua pemain meningkatkan keazaman, saya rasa mereka belum menunjukkan potensi sebenar. 

“Saya tiada masalah untuk bertemu dengan negeri mana pun dalam saingan peringkat suku akhir esok kerana kami sememangnya sudah bersedia,” katanya.

Bagi aksi suku akhir esok, Wilayah Persekutuan yang menjuarai kumpulan kumpulan B akan bertemu naib juara kumpulan D Johor sementara juara kumpulan C Perak akan berentap dengan naib juara kumpulan A Sarawak.

Selangor yang muncul juara kumpulan A pula dijadual bertemu naib juara kumpulan B Negeri Sembilan manakala juara kumpulan D Pulau Pinang akan membuat perhitungan dengan naib juara kumpulan C Melaka.

Kesemua perlawanan suku akhir akan bermula serentak pada 10 pagi esok di Stadium Tertutup Sibu.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan