AM

PENGARAH MEDIA DAN KOMUNIKASI STRATEGIK PMO ROZAID RAHMAN MENINGGAL DUNIA

19/08/2024 12:08 AM

KUALA LUMPUR, 18 Ogos (Bernama) -- Pengarah Media dan Komunikasi Strategik di Pejabat Perdana Menteri (PMO) Rozaid Abdul Rahman meninggal dunia pada petang tadi di rumahnya di Putra Heights, Subang Jaya dekat sini akibat masalah jantung.

Bahagian Media dan Komunikasi Strategik PMO mengesahkan pemergian bekas Ketua Pengarang Kumpulan Sinar Harian itu dalam kenyataan di sini hari ini.

"Allahyarham yang berusia 59 tahun sebelum ini telah menerima rawatan di Hospital Sultan Idris Shah, Serdang, sejak 1 Julai lepas dan dibenarkan keluar dari hospital pada 6 Ogos lepas.

"Pejabat Perdana Menteri mendoakan agar keluarganya diberi kekuatan dan ketabahan dan diampunkan segala dosa Allahyarham serta diberi tempat istimewa di sisiNya," menurut kenyataan itu.

Rozaid berpengalaman luas dalam bidang kewartawanan selama lebih 40 tahun dan memulakan kerjaya sebagai pemberita kadet di Utusan Malaysia pada April 1984.

Wartawan veteran itu juga pernah menyandang jawatan Pegawai Eksekutif Pengisian/Pengarang Eksekutif Kumpulan Media The Star selain pernah berkhidmat sebagai Setiausaha Akhbar Datuk Seri Mohamed Khaled Nordin yang ketika itu Menteri Pengajian Tinggi.

Allahyarham kemudian berkhidmat di Sinar Harian pada 4 Jan 2021 sebelum mengambil keputusan menamatkan perkhidmatan pada 30 Dis 2022.

Rozaid dilantik sebagai Pengarah Media dan Komunikasi Strategik PMO pada 23 Mei 2023. 

Sementara itu, Bernama difahamkan urusan mandi dan solat jenazah Allahyarham Rozaid akan diadakan pada 8.30 pagi esok di Masjid Putra Heights, Subang Jaya.

Allahyarham akan dikebumikan di Sungai Dua, Pulau Pinang.

-- BERNAMA

 

 


 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan