AM

FAHMI, NGA SAKSI KONSERT AYO DI DEWAN FILHARMONIK PETRONAS

20/08/2024 12:41 AM

KUALA LUMPUR,  19 Ogos (Bernama) -- Menteri Komunikasi Fahmi Fadzil meluangkan waktu petang dengan menyaksikan konsert oleh Asian Youth Orchestra (AYO) yang kembali semula ke Malaysia selepas 13 tahun di Dewan Filharmonik Petronas di sini hari ini.

Turut hadir ialah Menteri Perumahan dan Kerajaan Tempatan, Nga Kor Ming, bersama lebih daripada 600 penonton konsert untuk menikmati persembahan yang dibawakan oleh Rondo Production.

Kedua-dua menteri tiba pada jam 7.45 malam dan mengadakan sesi bertemu dan beramah mesra dengan penonton konsert sebelum persembahan bermula pada jam 8 malam selama lebih dua jam.

Konsert itu menampilkan bakat pemuzik muda dari seluruh Asia dengan menonjolkan kepentingan pertukaran budaya dan seni.

Ia dianjurkan dengan kerjasama Pejabat Ekonomi dan Perdagangan Hong Kong (HKETO) di Jakarta, untuk menjalin perkongsian antarabangsa yang bermakna dan menyampaikan pengalaman artistik dan seni bertaraf dunia.

Konsert tersebut menampilkan 103 pemuzik cemerlang daripada lebih 10 negara dan wilayah di seluruh Asia termasuk enam dari Malaysia di bawah arahan Maestro Jader Bignamini..

Orkestra yang berpangkalan di Hong Kong itu mempersembahkan rangkaian muzik termasuk George Gershwin's Symphonic Suite from Porgy and Bess, Ottorino Respighi's Pines of Rome, Leonard Bernstein's Symphonic Dances from West Side Story, dan Modest Mussorgsky's Pictures at an Exhibition.

-- BERNAMA 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan