AM

WARIS KELUARGA ISTIQOMAH TUNTUT PELAKU DIKENAKAN HUKUMAN SETIMPAL

20/08/2024 10:35 AM

PASIR MAS, 20 Ogos (Bernama) -- Keluarga kepada Allahyarham Istiqomah Ahmad Rozi mahu pelaku yang terlibat dalam kes pembunuhan guru wanita itu dikenakan hukuman setimpal.

Suami Allahyarham Istiqomah, Mohd Yusof Mohktar, 35, berharap pihak berkuasa menjalankan kes pembunuhan isterinya itu dengan seadil-adilnya.

“Saya minta semua pihak mendoakan agar isteri saya ditempatkan dalam kalangan orang-orang beriman,” katanya kepada pemberita di Tanah Perkuburan Islam Kubur Besar Bandar Pasir Mas malam tadi.

Jenazah Istiqomah selamat dikebumikan di tanah perkuburan berkenaan pada 11.50 malam tadi.

Bapa Allahyarham Istiqomah, Ahmad Rozi Latimin, 64, pula bersyukur kerana jenazah anaknya selamat disemadikan di kampung halaman.

"Allah makbulkan doa saya dan isteri (Saliha Ya) terutama ketika lapan bulan Allahyarham hilang daripada kami,” katanya.

Pada 6 Jan lepas, media melaporkan penemuan mayat wanita tanpa kepala, kedua-dua tangan dan kaki di dalam tong sampah di tepi jalan Alor Gajah-Tampin berdekatan Kampung Rimau, Pulau Sebang, Melaka.

Selepas lapan bulan, polis mengesahkan mayat berkenaan dikenal pasti sebagai Istiqomah, seorang guru yang dilaporkan hilang pada 27 Dis 2023.

Susulan itu, Bahagian Siasatan Khas Jabatan Siasatan Jenayah (JSJ) Polis Melaka dengan kerjasama JSJ Johor serta Bahagian Siasatan Jenayah Ibu Pejabat Polis Daerah Alor Gajah, menahan pasangan suami isteri berumur 37 dan 36 tahun di Chemor, Perak pada 6 Ogos.

Semalam, seorang lelaki yang merupakan bekas guru dihadapkan ke Mahkamah Majistret Alor Gajah atas pertuduhan membunuh seorang guru wanita pada hujung tahun lepas.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan