JENAYAH & MAHKAMAH

KES BUNUH DUA BERANAK: LELAKI WARGA ASING DIREMAN BANTU SIASATAN

20/08/2024 02:53 PM

ALOR SETAR, 20 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki warga asing direman tujuh hari bagi membantu siasatan kes pembunuhan seorang wanita dan anak perempuannya, semalam.

Perintah reman dikeluarkan oleh Majistret Siti Nor Hasliza Md Ali bermula hari ini hingga 26 Ogos bagi membolehkan siasatan dijalankan mengikut Seksyen 302 Kanun Keseksaan.

Lelaki warga asing berusia 43 tahun itu ditahan di sebuah masjid di Bukit Pinang di sini pada 9 malam tadi susulan penemuan dua mayat dalam longkang di belakang sebuah bangunan terbiar di Lebuhraya Sultan Abdul Halim, di sini.

Mangsa iaitu wanita berusia 34 tahun dan kanak-kanak perempuan berusia 10 tahun ditemui oleh orang awam sebelum bertindak menghubungi pihak polis pada pukul 5.04 petang semalam.

Kedua-dua mayat warga asing itu lengkap berpakaian dalam keadaan tertiarap dan terlentang berdekatan antara satu sama lain dengan kesan kelar pada leher.

-- BERNAMA 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan