JENAYAH & MAHKAMAH

TIGA PELAJAR DIKHUATIRI HILANG DALAM KEJADIAN BOT KARAM DI SUNGAI KAYAN

20/08/2024 11:08 AM

KUCHING, 20 Ogos (Bernama) -- Tiga pelajar sekolah hilang sementara 15 orang lagi berjaya menyelamatkan diri dalam satu kejadian bot karam di Sungai Kayan Kampung Selampit di Lundu, kira-kira 72 kilometer dari sini hari ini.

Menurut maklumat awal Pusat Gerakan Operasi (PGO) Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia (JBPM) Sarawak, mangsa yang hilang terdiri daripada dua pelajar perempuan berusia 14 dan 17 tahun serta seorang pelajar lelaki berusia 15 tahun.

“Terdapat 15 pelajar berjaya menyelamatkan diri, manakala tiga lagi mangsa masih belum dijumpai dan  kerja-kerja pencarian masih dilakukan oleh penduduk kampung," kata jurucakap PGO hari ini.

Jurucakap itu berkata ketika kejadian bot tersebut dinaiki 20 orang termasuk seorang wanita dewasa dan seorang pengemudi, dan pencarian awal telah dilakukan oleh penduduk kampung. 

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan