JENAYAH & MAHKAMAH

LELAKI WARGA EMAS DIKHUATIRI LEMAS KETIKA MENJALA IKAN DI YAN

20/08/2024 02:57 PM

ALOR SETAR, 20 Ogos (Bernama) -- Seorang lelaki warga emas dikhuatiri lemas selepas terjatuh ke dalam sungai ketika menjalankan aktiviti menjala ikan di Kuala Sala, Yan, semalam.

Ketua Balai Bomba dan Penyelamat (BBP) Yan Penolong Penguasa Bomba Norhamidi Ali berkata pihaknya menerima panggilan kecemasan berhubung kejadian itu pada 7.31 malam sebelum tiba di lokasi kira-kira 12 minit kemudian.

"Mangsa, Ahmad Hashim, 71, dilaporkan terjatuh ke dalam sungai ketika menjala ikan dan tindakan operasi pencarian di permukaan air di lokasi dia dikatakan terjatuh telah dilakukan dengan bantuan pelbagai pihak.

“Operasi terpaksa ditangguhkan sebelum disambung semula pada 9.49 pagi tadi. Setakat ini, mangsa belum ditemukan dan operasi masih berjalan,” katanya dalam kenyataan di sini hari ini.

Operasi mencari dan menyelamat dilakukan membabitkan pelbagai agensi termasuk polis, Jabatan Bomba dan Penyelamat Malaysia Kedah, Pasukan Penyelamat Di Air Bomba serta Angkatan Pertahanan Awam Malaysia  Yan dan Alor Setar selain penduduk kampung.

-- BERNAMA

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan