POLITIK

PRK NENGGIRI: JUMLAH KELUAR MENGUNDI MENGGALAKKAN SETAKAT 11 PAGI

17/08/2024 01:16 PM

GUA MUSANG, 17 Ogos (Bernama) -- Peratusan keluar mengundi warga emas dan anak muda pada Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Nenggiri setakat 11 pagi ini amat menggalakkan, kata Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya (SPR) Datuk Seri Ramlan Harun. 

Beliau berkata kedua-kedua saluran pengundian itu menunjukkan kehadiran yang tinggi dengan peratusan mengundi di saluran warga emas mencatatkan jumlah tertinggi diikuti saluran pengundi muda. 

“Macam biasa, pada sebelah pagi ia lebih kepada saluran warga emas dan saluran muda baru mula (meningkat), selepas pukul 11 ke atas makin rancak mereka turun (mengundi),” katanya dalam sidang media  selepas meninjau proses pengundian di pusat mengundi di Sekolah Kebangsaan Jeram Tekoh di sini hari ini. 

Beliau berkata setakat 11 pagi, sebanyak 40.43 peratus daripada jumlah keseluruhan 20,216 pengundi biasa telah menunaikan tanggungjawab masing-masing sejak kesemua 20 pusat mengundi bagi PRK itu dibuka 8 pagi tadi.

PRK itu menyaksikan pertembungan satu lawan satu antara calon Barisan Nasional (BN) Mohd Azmawi Fikri Abdul Ghani mewakili Kerajaan Perpaduan dan calon PAS Mohd Rizwadi Ismail mewakili Perikatan Nasional (PN).

Ramlan berkata peratusan keluar mengundi untuk tempoh sama kali ini lebih memberangsangkan berbanding Pilihan Raya Negeri ke-15 di Kelantan Ogos tahun lepas yang hanya mencatatkan 30 peratus.

“Saya amat mengharapkan pengundi yang belum mengundi dapat keluar awal supaya proses hari ini tidak tergendala kerana petang nanti mungkin akan hujan dan sebagainya,” katanya. 

Mengenai situasi banjir kilat di Kampung Serian Batu 11 malam tadi, Ramlan berkata SPR telah menghantar kelengkapan seperti bot dan perahu, sejurus mendapat maklumat mengenai perkara itu daripada Pegawai Pengurus Pilihan Raya PRK berkenaan Nik Raisnan Daud.

“Banjir berlaku di Kampung Serian Batu 11, dan tempat mengundi (mereka) di Kampung Serian Batu 12. Kita telah melaksanakan tindakan segera dengan menghantar bot atau perahu untuk bawa pengundi-pengundi dan setakat ini (banjir) sudah surut dan dalam keadaan baik,” katanya. 

Beliau berkata setakat ini, pihaknya belum menerima sebarang aduan pengundi tidak dapat turun mengundi di kesemua 20 pusat mengundi bagi PRK itu.

Sementara itu, Ramlan berkata SPR telah menerima satu laporan mengenai kesalahan kecil pilihan raya di bawah Akta Kesalahan Pilihan Raya 1954 melibatkan bahan kempen atau poster yang tidak mengikut peraturan. 

-- BERNAMA

 

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan