AM

CAAM DIHARAP TAMBAH BAIK KELOMPANGAN BABIT PERATURAN PESAWAT BERDAFTAR ASING - LOKE

20/08/2024 07:33 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Pihak Berkuasa Penerbangan Awam Malaysia (CAAM) diharap dapat menambah baik kelompangan membabitkan peraturan pesawat berdaftar asing yang beroperasi dalam negara, susulan tragedi nahas pesawat Beechcraft Model 390 di Bandar Elmina, tahun lepas.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata menerusi laporan yang dikeluarkan Biro Siasatan Kemalangan Udara (BSKU) baru-baru ini, telah mengesan kekurangan daripada aspek peraturan berkenaan pesawat berdaftar asing yang beroperasi sebagai penerbangan am dan bukannya penerbangan komersial.

“Dari segi penguatkuasaan itu saya serahkan kepada CAAM untuk membuat siasatan lanjut, sama ada mereka (syarikat penerbangan) menyalahi peraturan atau melanggar undang-undang penerbangan awam kita.

“Semua syarikat general aviation ini dia bukan penerbangan untuk penumpang biasa, jadi dari segi operasinya berlainan dan memang ada keperluan untuk kita memperketatkan peraturan berkenaan dengan foreign aircraft ini yang mungkin dimiliki oleh syarikat luar negara dan bukan dilesenkan di Malaysia,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Ruang Letak Kereta Antara Malaysia Rapid Transit System (MRTS) and Coronade Properties Sdn Bhd di sini hari ini.

Loke berkata CAAM sedang menjalankan kajian bagi melihat perkara berkenaan dan hasil kajian akan dibentangkan kepada pihak kementerian menjelang akhir tahun ini.

Pada Sabtu, CAAM telah memulakan semakan menyeluruh terhadap peraturan 147 Peraturan-Peraturan Penerbangan Awam 2016 berkaitan pengendalian pesawat berdaftar asing dalam penerbangan am.

Menurut Ketua Pegawai Eksekutif CAAM Datuk Kapten Norazman Mahmud, semakan itu selaras dengan saranan keselamatan yang disediakan oleh BSKU dan cadangan peraturan baharu itu dijangka diterbitkan menjelang penghujung 2024.

Dalam kejadian 17 Ogos 2023, sebuah jet Beechcraft Model 390 dalam perjalanan ke lapangan terbang Subang terhempas berhampiran Elmina, Shah Alam, Selangor, mengorbankan 10 orang.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan