EKONOMI

MRT CORP, CORONADE PROPERTIES TANDATANGANI PERJANJIAN KEMUDAHAN TEMPAT LETAK KERETA PENGGUNA RTS LINK

20/08/2024 09:33 PM

KUALA LUMPUR, 20 Ogos (Bernama) -- Mass Rapid Transit Corporation Sdn Bhd (MRT Corp) melalui unitnya Malaysia Rapid Transit System Sdn Bhd (MRTS), menandatangani perjanjian jual beli dengan Coronade Properties Sdn Bhd untuk pemerolehan 781 petak letak kereta di Coronation Square, Johor Bahru.

Ruang letak kereta ini akan dikhaskan untuk pengguna Sistem Transit Rapid (RTS) Link yang bertujuan meningkatkan lagi ketersambungan dan kebolehcapaian bagi mereka yang menggunakan perkhidmatan rentas sempadan antara Johor Bahru dan Singapura.

Menteri Pengangkutan Anthony Loke berkata selepas projek tersebut siap, tempat letak kereta dan motosikal tambahan itu khususnya untuk pengguna RTS Link di Coronation Square akan dimiliki dan diuruskan oleh MRT Corp sekali gus menghasilkan pendapatan berulang kepada mereka. 

“Walaupun kita perlu membeli tempat letak kereta ini tetapi ia merupakan pelaburan jangka panjang yang mana kita akan menguruskannya serta menghasilkan pendapatan berulang pada masa hadapan. 

“Satu perkara penting yang ingin saya tekankan adalah elemen ketersambungan dan integrasi antara tempat letak kereta dan Stesen RTS Link di Bukit Chagar,” katanya pada sidang media selepas menyaksikan Majlis Menandatangani Perjanjian Jual Beli Tempat Letak Kereta antara MRTS dan Coronade Properties Sdn Bhd di sini, hari ini. 

Beliau juga turut menyeru dan mengalu-alukan pemaju dan pemilik bangunan di sekitar Bukit Chagar untuk membina jejambat pejalan kaki bagi menghubungkan stesen Bukit Chagar.

“Matlamat saya ialah untuk melihat stesen Bukit Chagar ini seperti model Central, Hong Kong yang mana semua bangunan di sekitar Central itu dihubungkan dalam satu kawasan dan pengguna boleh berjalan kaki dari satu bangunan ke bangunan lain melalui jejambat pejalan kaki sehingga ke stesen mereka.

“Mesra pejalan kaki dan saling berhubung adalah bahagian yang sangat penting dalam projek RTS Link,” kata beliau. 

Perjanjian itu ditandatangani oleh Ketua Pegawai Eksekutif MRT Corp Datuk Mohd Zarif Hashim dan Pengarah Perhubungan Korporat Coronade Properties Datin Paduka Alinah Ahmad dan disaksikan oleh Loke dan Pengerusi MRT Corp Tan Sri Bashir Ahmad.

Pembinaan projek infrastruktur rel RTS Link antara Johor Bahru dan Singapura telah mencapai kemajuan sebanyak 83 peratus menjelang akhir Julai 2024.

Dengan pemasangan sistem dijangka bermula pada penghujung tahun ini, MRT Corp akan membina kemudahan tempat letak kereta 'Park 'N Ride' bertingkat di Bukit Chagar untuk penumpang RTS Link, termasuk 1,500 tempat letak kereta, melengkapkan ruang letak kereta tambahan di Coronation Square yang terletak hanya 400 meter dari stesen Bukit Chagar.

Coronation Square ialah pembangunan bersepadu sepenuhnya bernilai RM5 bilion, merupakan komponen utama Daerah Perniagaan Antarabangsa Ibrahim (IIBD) dan bersedia menjadi mercu tanda Johor Bahru.

-- BERNAMA

 

 

© 2024 BERNAMA   • Penafian   • Dasar Privasi   • Dasar Keselamatan